KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang berusaha membina semula simpanan pencarum selepas RM145 bilion dikeluarkan menerusi empat fasiliti pengeluaran berkaitan COVID-19, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata pengeluaran tersebut melibatkan 8.2 juta pencarum melalui i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan pengeluaran khas.
“Oleh itu, tumpuan kini diberikan untuk mengukuhkan semula simpanan persaraan dan memastikan ahli menikmati pendapatan persaraan yang mampan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Mohd Hasbi Muda yang ingin mengetahui sama ada pencarum mempunyai simpanan yang mencukupi bagi menghadapi usia pencen mereka.
Amir Hamzah berkata kerajaan juga tidak berhasrat memperkenalkan pengeluaran baharu memandangkan struktur akaun KWSP telah dirombak semula dengan mewujudkan Akaun 1, Akaun 2 dan Akaun 3 serta Akaun 3 bersifat fleksibel bagi pengeluaran untuk kecemasan.
Katanya KWSP juga sedang meneliti cadangan memperkenalkan skim bayaran pencen secara bulanan untuk ahli baharu yang dijangka diluluskan dalam tempoh beberapa tahun akan datang manakala pencarum sedia ada boleh memilih untuk beralih kepada skim tersebut.
“Skim ini masih dalam penelitian dan akan diluluskan mungkin dalam tempoh beberapa tahun lagi. Pencarum sedia ada boleh memilih untuk berganjak kepada skim ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial