JENAYAH & MAHKAMAH

Pengarah Syarikat Pembinaan Didakwa Pecah Amanah, Pengubahan Wang Haram

08/09/2025 05:40 PM

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Pengarah syarikat pembinaan lebuh raya Tan Sri Abu Sahid Mohamed didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan pecah amanah lebih RM313 juta dan 13 tuduhan pengubahan wang haram RM139.2 juta berhubung cadangan projek pembinaan lebuh raya MEX II.

Abu Sahid, 74, Pengarah Syarikat Maju Holdings Sdn Bhd, yang ke hadir ke mahkamah dengan  berkerusi roda mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1.5 juta dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah hingga kes selesai dan 3 Nov ditetapkan untuk sebutan kes.

Abu Sahid didakwa atas empat pertuduhan pecah amanah iaitu sebagai pengarah syarikat Maju Holdings Sdn Bhd diamanahkan dengan penguasaan wang milik Maju Holdings dalam akaun bank, telah melakukan pecah amanah dengan secara tidak jujur menyalahgunakan wang berjumlah lebih RM313 juta di sebuah bank di Bukit Tunku, Taman Tunku di sini antara 3 Mei 2016 hingga 21 Okt 2019.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, mengikut pertuduhan pertama hingga ke-10 membabitkan pengubahan wang haram, Abu Sahid didakwa memindahkan hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah keseluruhan RM116,449,536.12 daripada akaun bank miliknya kepada lima individu dan empat syarikat pembinaan.

Bagi tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abu Sahid didakwa telah melupuskan hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah keseluruhan RM22,802,612.86 dengan membuat pengeluaran tunai melalui 17 keping cek daripada akaun miliknya di bank sama antara 4 Mei 2016 hingga 19 Sept 2018. 

Abu Sahid didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah wang terlibat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib berkata pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju supaya jumlah jaminan dibenarkan pada kadar RM1.5 juta bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Ahmad Akram turut memohon supaya kes pecah amanah dan pengubahan wang haram dibicarakan bersama yang kemudiannya dibenarkan oleh Hakim Suzana.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Abu Sahid mengesahkan perkara itu selain tidak membantah permohonan pendakwaan agar kes berkenaan dibicarakan bersama.

Di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad, isteri kepada Abu Sahid, Puan Sri Noor Azrina Mohd Azmi, 48, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan telah menerima hasil daripada aktiviti haram berupa wang berjumlah RM67.14 juta menerusi akaun banknya daripada akaun bank milik Abu Sahid.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Bukit Tunku antara 6 Mac 2017 dan 27 Nov 2017 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bekas pengarah syarikat pembinaan lebuh raya Datuk Yap Wee Leong, 68, didakwa atas 17 pertuduhan telah dengan secara tidak jujur menggunakan sebagai tulen dokumen untuk kerja-kerja projek “Proposed Lebuhraya Putrajaya To KLIA (MEX II) Commencing From Putrajaya Interchanged And Terminating At KLIA For Maju Holdings Sdn Bhd” berjumlah RM314.48 juta.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah pejabat di Maju Tower, Jalan Sultan Ismail antara Jun 2017 hingga April 2018 mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib manakala Noor Azrina dan Yap masing-masing diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Abdul Hakeem Aiman.

Mahkamah membenarkan Nor Azrina diikat jamin RM500,000 dan jaminan RM1 juta terhadap Yap dengan seorang penjamin setiap tertuduh berserta syarat tambahan pasport kedua-dua tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Hakim Rosli menetapkan 3 Nov untuk sebutan kes.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan