EKONOMI

Malaysia Perkukuh Perpaduan Serantau Melalui Persidangan CEO Kereta Api ASEAN Ke-45

09/09/2025 02:04 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia melihat penganjuran Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif Kereta Api ASEAN ke-45 (ARCEOs) sebagai kesinambungan bermakna kepada agenda kepengerusian negara.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata acara yang berlangsung pada 8 hingga 12 September 2025 itu amat sejajar dengan peranan kepimpinan Malaysia dan mencerminkan komitmennya untuk memupuk perpaduan, menggalakkan inovasi dan memperkukuh kerjasama di seluruh Asia Tenggara.

“Ia lebih daripada sekadar sebuah persidangan, perhimpunan ARCEOs merupakan bukti kepada cita-cita bersama dan semangat perpaduan ASEAN.

“ ARCEOs mencerminkan dedikasi Malaysia sebagai pengerusi untuk memastikan sistem kereta api serantau kekal di barisan hadapan dalam kemajuan, inovasi dan kerjasama demi masa depan yang berdaya tahan dan terhubung tanpa halangan,” katanya dalam ucapan perasmian hari ini.

Beliau berkata acara itu sendiri menunjukkan usaha bersatu Malaysia dalam mengejar sistem pengangkutan yang berfikiran jauh ke hadapan dan mampan.

“Melalui dialog kerjasama dan pertukaran idea, kita berpeluang bukan sahaja untuk mencetuskan inovasi dan memperluas kerjasama dalam ASEAN, malah juga untuk membina hubungan bermakna dengan rakan-rakan kongsi global.

“Mewujudkan infrastruktur rel bertaraf dunia adalah lebih daripada sekadar pencapaian logistik; ia memperkukuh daya tahan ekonomi kita, mengurangkan risiko daripada gangguan rantaian bekalan global dan mempertingkatkan pengaruh ASEAN di pentas dunia,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ARCEOs ke-45, Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata persidangan tahun ini menandakan satu pencapaian penting dalam usaha bersama untuk mencapai perpaduan serantau, inovasi dan kerjasama, yang seterusnya dipandu oleh Wawasan Komuniti ASEAN 2045.

“Wawasan ini mencabar kita untuk membina sebuah rantau yang benar-benar bersepadu, makmur dan berpaksikan rakyat.

“Kereta api bukan sekadar satu mod pengangkutan; kita ialah nadi yang akan mengalirkan denyut kehidupan dalam pertumbuhan ekonomi, pembangunan sosial dan kemampanan alam sekitar ke dalam wawasan ini untuk dua dekad akan datang,” katanya pada acara itu.

Pengendali kereta api secara bersama, berada di persimpangan inovasi dan kerjasama. Wawasan kolektif mereka untuk sektor kereta api ASEAN boleh diterjemahkan kepada kemajuan yang ketara.

“Perhimpunan ini bukan sekadar satu acara; ia adalah platform pelancaran, tempat di mana idea akan mencetuskan hubungan dan perubahan yang berkekalan untuk berakar umbi demi masa depan rantau kita.

“Sebagai tuan rumah, KTMB komited untuk memastikan persidangan tahun ini bukan sahaja menjadi medan dialog yang bermakna, tetapi juga platform untuk memupuk peluang berharga dalam rangkaian, perkongsian dan kerjasama serta menterjemahkan wawasan ini kepada tindakan yang konkrit,” tambahnya.

ARCEOs 2025 menghimpunkan kira-kira 100 delegasi dari ASEAN.

Acara tahunan itu menyediakan platform untuk pengendali kereta api ASEAN memperkukuh kerjasama mereka yang telah lama terjalin.

Organisasi kereta api kebangsaan dari negara-negara ASEAN secara tradisinya menjadi tuan rumah untuk acara itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan