KAJANG, 9 Sept (Bernama) -- Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menetapkan 30 Okt depan untuk keputusan representasi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) Nasiruddin Mohd Ali dan 21 individu lain untuk mengkaji pertuduhan dihadapi mereka atas dakwaan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
Hakim Datuk Seri Latifah Mohd Tahar menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Norinna Bahadun memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) memerlukan masa untuk meneliti representasi itu dan memohon tarikh baharu untuk memaklumkan keputusan representasi berkenaan.
Peguam Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili kesemua tertuduh berkata pihaknya bersetuju dengan tarikh itu.
Ketika ditemui pemberita selepas prosiding yang dijalankan di Kompleks Penjara Kajang, Rosli berkata pihaknya telah mengemukakan representasi kepada AGC pada Mei lepas untuk mengkaji semula pertuduhan termasuk menukar kepada seksyen dan hukuman yang lebih rendah.
Rosli berkata Nasiruddin dan tiga individu lain akan didakwa atas kesalahan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.
Mahkamah sebelum ini menetapkan perbicaraan kes itu bermula 17 hingga 21 Nov ini.
Pada 23 Okt 2024, Nasiruddin, 66, isterinya Azura Md Yusof, 58, dan 20 individu lain didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di sebuah premis di Bandar Country Homes, Rawang antara Oktober 2020 hingga 11 Sept 2024.
Turut didakwa bersama Nasiruddin dan Azura ialah anak bekas pengasas Al-Arqam Ashaari Muhammad, iaitu Mohammad Adib At-Tamimi, 33.
Tertuduh lain ialah Mohd Shukri Mohd Noor, 54; Muhammad Afdaluddin Latif, 35; Mohamad Sayuti Omar, 36; Mohd Fazil Md Jasin, 58; Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35; Mokhtar Tajuddin, 61; Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35; Shuhaimi Mohamed, 57; Hasnan Abd Hamid, 54; dan Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 52.
Turut dituduh dalam kes itu ialah Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28; Nur Jannah Omar, 33; Hamimah Yakub, 72; Asmat@Asmanira Muhammad Ramly, 45; Nurul Jannah Idris, 29; Siti Salmiah Ismail, 58; Siti Hajar Ismail, 52; dan Mahani Kasim, 55.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan dengan kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial