KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Kes saman fitnah difailkan bekas Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man terhadap bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Tuan Ibrahim memfailkan saman itu pada 17 Nov 2022 berhubung kenyataan yang didakwa berbaur fitnah mengenai kelulusan beberapa projek termasuk projek tebatan banjir kepada sebuah syarikat.
Semasa prosiding di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Avinder Singh Gill, peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Tuan Ibrahim berkata kedua-dua pihak telah mencapai penyelesaian di luar mahkamah.
"Berdasarkan terma-terma yang telah dipersetujui, pihak plaintif (Tuan Ibrahim) memohon untuk menarik balik saman di mahkamah tanpa kebebasan untuk memfailkan semula dan tanpa sebarang perintah berkenaan kos," kata Yusfarizal. Perkara itu turut disahkan oleh peguam Azhar Arman Ali, yang mewakili Mohd Rafizi.
Susulan itu, Avinder membatalkan saman berkenaan dan melapangkan tarikh-tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini.
"Mahkamah mengucapkan terima kasih atas usaha serius pihak-pihak untuk mencapai penyelesaian secara baik di luar mahkamah," kata Avinder.
Mahkamah sebelum ini menetapkan 8 hingga 12 Sept ini untuk mendengar perbicaraan kes berkenaan.
Sementara itu, dalam satu kenyataan bersama oleh Mohd Rafizi dan Tuan Ibrahim hari ini menyatakan Mohd Rafizi bersetuju untuk menurunkan kesemua hantaran melalui media sosial di bawah kawalannya, yang bersabit dengan perkara itu untuk mengelak ia berpanjangan selain mengelak persoalan yang ditimbulkannya disalahertikan oleh orang awam.
"Memandangkan isu keterlibatan Tuan Ibrahim dalam penganugerahan projek tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion kepada Mangkubumi Sdn Bhd bukanlah tumpuan kenyataan media Mohd Rafizi sebelum ini, maka isu tersebut tidak lagi berbangkit antara pihak-pihak.
"Tuan Ibrahim bersetuju untuk menarik balik saman sivil ini," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, atas semangat penyelesaian yang berhemah, Mohd Rafizi dan Tuan Ibrahim secara bersama bersependapat bahawa sebarang perselisihan atau salah faham yang berlaku antara pihak-pihak di dalam tindakan saman ini wajar diketepikan demi kepentingan awam, keharmonian masyarakat serta kestabilan politik dalam negara.
Kedua-dua ahli politik yang hadir pada prosiding hari ini turut dilihat bersalaman sebelum meninggalkan bilik mahkamah.
Dalam pernyataan tuntutan, Tuan Ibrahim mendakwa Mohd Rafizi mengeluarkan kenyataan fitnah pada dua sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya yang turut disiarkan secara langsung menerusi YouTube defendan (Mohd Rafizi) pada 7 dan 9 Nov 2022.
Kenyataan itu didakwa membawa maksud beliau terlibat meluluskan projek bernilai RM2 bilion kepada sebuah syarikat bagi Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat, serta projek loji rawatan kumbahan dan rangkaian paip pembentungan di Kinta dan Petaling Jaya, berjumlah lebih RM2.3 bilion.
Beliau juga dituduh berkomplot secara rahsia dengan Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam penganugerahan projek di bawah Program Jana Wibawa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial