KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas Doha di Qatar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata tindakan sewenang-wenangnya itu satu pencerobohan terang-terangan terhadap kedaulatan Qatar dan pencabulan serius terhadap undang-undang antarabangsa.
“Tindakan itu membahayakan nyawa orang awam, serangan ke atas ibu negara yang berdaulat, dan boleh mencetuskan ketegangan di rantau yang sudah pun rapuh,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menyasarkan Qatar sebuah negara yang menjadi pusat kepada usaha pengantaraan dan dialog di Timur Tengah satu penghinaan mutlak rejim itu terhadap keamanan dan diplomasi.
“Serangan itu sama sekali tidak boleh dipertahankan dan diterima.
“Malaysia berdiri teguh bersama Qatar dan menggesa masyarakat antarabangsa untuk memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas pencerobohan yang melampau itu,” kata Perdana Menteri.
Semalam, Agensi Berita Qatar (QNA) melaporkan Qatar mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel yang menyasarkan bangunan kediaman menempatkan beberapa anggota Biro Politik Hamas di Doha dan menyifatkannya sebagai pencabulan jelas terhadap undang-undang serta norma antarabangsa selain mencetuskan ancaman serius terhadap keselamatan rakyat Qatar serta penduduk lain.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Qatar, pasukan keselamatan, pertahanan awam dan pihak berkuasa berkaitan telah mengambil langkah-langkah segera menangani insiden itu, termasuk melaksanakan tindakan sewajarnya untuk mengekang kesannya serta memastikan keselamatan penduduk dan kawasan sekitar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial