ISKANDAR PUTERI, 10 Sept (Bernama) -- Kerajaan Johor mengumumkan peruntukan sekali beri RM3,000 kepada pengusaha kantin sekolah agama yang telah memiliki sijil halal bagi membolehkan mereka melakukan kerja baik pulih serta menyediakan kemudahan selesa selaras keperluan standard pensijilan Halal Malaysia.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata peruntukan itu akan diberikan menerusi Perbadanan Islam Johor dalam belanjawan negeri tahun hadapan sebagai tanda sokongan berterusan kerajaan Johor terhadap pendidikan agama Islam di negeri itu.
“Kita yakin dengan galakan ini sekolah-sekolah agama akan muncul sebagai perintis dan model terbaik masyarakat dalam menghayati nilai halal sebenar,” katanya pada program Seminar Halal Johor: Perkongsian Negara Serantau sempena Sambutan 100 Tahun Majlis Agama Islam Negeri Johor di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid.
Onn Hafiz berkata penghargaan itu membuktikan kerajaan negeri serius menjadikan halal sebagai budaya hidup masyarakat Johor bermula daripada institusi pendidikan agama yang melahirkan pewaris generasi hadapan.
Pada Julai lepas Mohd Fared berkata sebanyak 138 kantin di Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) bakal menerima pengiktirafan halal menjelang Disember depan, selaras dengan pelaksanaan Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030.
Johor kini memiliki sebanyak 3,462 sijil halal aktif dengan 2,470 daripadanya merupakan pemegang sijil halal atau syarikat berdaftar bagi permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial