AM

BHEUU Peruntuk RM935,000 Laksana Program KAM 2.0 Di Kampung Bukit Katong, Jasin

10/09/2025 04:44 PM

JASIN, 10 Sept (Bernama) -- Sebanyak RM935,000 diperuntukkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri bagi melaksanakan Program Kesejahteraan Aspirasi MADANI (KAM) 2.0 di Kampung Bukit Katong, Rim di sini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) BHEUU Nur Azlin Mohamad Awal berkata pelaksanaan Program KAM 2.0 itu juga sebagai kesinambungan kejayaan projek rintis pertamanya di Pengerang, Johor pada tahun lepas.

"BHEUU juga menjalin kerjasama strategik bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Rim dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) bagi mengenal pasti isu setempat.

"Selain itu kita juga memanfaatkan kepakaran dan pengalaman sedia ada untuk menjayakan inisiatif ini," katanya ketika berucap merasmikan program itu di sini hari ini

Program itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim Datuk Khaidirah Abu Zahar dan Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom.

Nur Azlin berkata peruntukan daripada Kementerian Kewangan itu juga digunakan untuk tujuh skop kerja utama yang akan dilaksanakan oleh MPJ.

"Antaranya ialah menaik taraf pencahayaan melalui pemasangan 31 lampu solar dari Jalan Rim hingga ke bulatan FELDA Bukit Senggeh, pembinaan dewan terbuka di Jalan Rim, pembinaan bengkel kerja di gelanggang gasing pangkah FELDA Tun Ghafar Bukit Senggeh.

"Selain itu kerja naik taraf Dewan Semai Bakti FELDA Bukit Senggeh, naik taraf gelanggang futsal di Taman Jarim Jaya, Kampung Bukit Katong dan naik taraf jalan di Jalan Bunga Mawar serta kerja pemotongan pokok dan pembersihan kawasan sekitar kampung," katanya.

Beliau berkata program KAM 2.0 itu juga memberi peluang kepada BHEUU untuk mengenal pasti isu masyarakat pada peringkat akar umbi serta menyediakan penyelesaian holistik demi kesejahteraan penduduk.

“Hasrat utama kerajaan MADANI adalah untuk merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar, bukan sahaja dari aspek infrastruktur tetapi juga melalui rangsangan ekonomi setempat. 

"Pendekatan ini menekankan keunikan atau faktor istimewa dalam setiap komuniti yang boleh dijadikan pemangkin kepada pembangunan mampan jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, Khaidirah berkata program berkenaan merupakan inisiatif yang amat baik dan berfokus, secara tidak langsung menyelesaikan masalah dihadapi penduduk dan segala kemudahan disediakan itu diharapkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti setempat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan