KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menahan pengarah dan pengurus dua syarikat berlainan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras menerusi manipulasi borang pengisytiharan barangan import dan eksport.
Menurut sumber, kegiatan kedua-dua suspek lelaki berusia 30-an dan 40-an itu terbongkar selepas SPRM menjalankan Op Lung bermula 9 Sept lepas dan seterusnya ditahan ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM, semalam.
Beliau berkata serbuan turut dilakukan di 15 syarikat dan lima premis perniagaan yang dikenal pasti sebagai gudang simpanan haram.
“Hasil serbuan tersebut telah menemukan minuman keras pelbagai jenama yang dipercayai diseludup masuk tanpa pengisytiharan cukai kepada kerajaan,” katanya kepada Bernama.
Susulan itu, kedua-dua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 12 Sept selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman dibuat SPRM di Mahkamah Putrajaya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi berkata setakat ini, nilai cukai yang tidak diisytiharkan dianggarkan bernilai RM500,000 dan jumlah itu dijangka meningkat berikutan siasatan lanjut terhadap beberapa lagi premis yang dikenal pasti.
Menurut beliau, SPRM juga telah membekukan 14 akaun syarikat dan empat akaun individu di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA), melibatkan jumlah keseluruhan RM2.4 juta.
"Jumlah itu juga dijangka meningkat susulan pengesanan penglibatan beberapa lagi syarikat dan individu yang dipercayai bersubahat dengan sindiket berkenaan," katanya.
Azam berkata siasatan SPRM kini tertumpu kepada elemen rasuah, penipuan melalui pengisytiharan palsu serta pengubahan wang haram dan pengesanan aset yang berkaitan.
“SPRM menjangkakan lebih banyak tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat bagi membongkar keseluruhan rangkaian sindiket itu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial