AM

Mesyuarat AMMTC Ke-19 Teruskan Perbincangan Dengan China, Jepun Dan Korea Selatan

11/09/2025 09:41 AM

MELAKA, 11 Sept (Bernama) -- Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 hari ini meneruskan perbincangan dengan rakan dialognya iaitu China, Jepun dan Korea Selatan, bagi mengukuhkan lagi kerjasama serantau.

Pertemuan ASEAN+3 ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan ASEAN dalam menangani cabaran berkaitan jenayah rentas sempadan di rantau ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, selaku Pengerusi AMMTC ke-19, tiba di lokasi mesyuarat kira-kira 8 pagi, bersama Setiausaha Agung Kementerian Dalam Negeri Datuk Awang Alik Jeman.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung ASEAN Dr. Kao Kim Hourn, serta wakil daripada negara anggota ASEAN termasuk pemimpin dan delegasi Timor-Leste.

Agenda hari ini turut menyaksikan penyerahan jawatan pengerusi AMMTC kepada Filipina pada sebelah petang, menandakan negara itu akan menjadi tuan rumah jawatankuasa pengerusi ASEAN pada tahun hadapan.

Melaka menjadi tumpuan serantau minggu ini apabila menteri-menteri dan pegawai kanan ASEAN yang bertanggungjawab dalam keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang berkumpul dari 8 hingga 12 Sept untuk AMMTC ke-19 dan mesyuarat berkaitan.

Program lima hari ini menumpukan kepada usaha memperkukuh kerjasama serantau dalam menangani pelbagai ancaman jenayah rentas sempadan.

AMMTC ke-19 dan mesyuarat berkaitan diadakan sejajar dengan Pengerusi ASEAN Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, mencerminkan komitmen negara dalam membina komuniti ASEAN yang lebih selamat dan makmur.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan