KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Polis menahan beberapa individu susulan kekecohan ketika operasi pengosongan 37 unit rumah teres Kampung Sungai Baru, di sini pagi tadi sehingga menyebabkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman cedera di kepala.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang mencetuskan provokasi sehingga mencederakan pegawai polis itu.
"Saya cukup marah apabila dimaklumkan, ACP Sulizmie Affendy cedera dibaling objek, hal ini bukan perkara kecil dan saya akan pastikan mereka yang terlibat dikenakan tindakan tegas dan ada beberapa individu yang ditahan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau operasi pengosongan rumah teres di kampung itu hari ini, yang dijalankan berikutan arahan mahkamah.
Terdahulu, Fadil turut dilihat memberikan penjelasan kepada penduduk yang berkumpul supaya memahami tanggungjawab pihak polis dalam melaksanakan perintah mahkamah.
Fadil berkata Sulizmie Affendy telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan atas kecederaan dialaminya.
"Saya difahamkan ada juga orang awam yang mengalami cedera ringan, iaitu terseliuh pada tangan dalam rempuhan itu dan kami akan kenal pasti individu berkenaan," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya mengesan sekumpulan individu dikenal pasti bukan penduduk Kampung Sungai Baru yang dipercayai cuba menimbulkan kekecohan.
"Ada dalam kalangan individu (berkumpul) di sini dipercayai terbabit dengan aktiviti menimbulkan kekacauan serta mencurigakan, perkara itu diakui penduduk yang mengenal pasti terdapat orang luar turut berkumpul di sini yang menimbulkan kekecohan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial