AM

Penganjuran CXF 2025 Beri Pendedahan Keperluan Industri Kreatif Kepada Pelajar TVET

11/09/2025 09:24 PM

ARAU, 11 Sept (Bernama) -- Penganjuran Creative Xperience Festival (CXF) yang julung kalinya dianjurkan tahun ini, menjadi platform memberikan pendedahan mengenai keperluan serta perkembangan industri kreatif di negara ini kepada pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata pelajar bukan sahaja didedahkan dengan suasana sebenar dunia industri kreatif, malah mereka juga dapat memahami bagaimana kreativiti dan teknologi boleh digabungkan untuk menyokong pembangunan negara.

“Usaha ini selaras dengan hasrat kerajaan mengangkat industri kreatif, yang merupakan sebahagian sektor ekonomi jingga sebagai antara pemacu baharu pembangunan negara dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan festival itu di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di sini hati ini.

Festival itu berlangsung tiga hari bermula hari ini yang merupakan anjuran Bahagian Kurikulum, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan kerjasama Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) bertemakan “Mengilham Warisan, Meneroka Dunia Digital”.

Pada majlis perasmian itu, Mustapha turut menyaksikan pemeteraian Surat Niat (LoI) antara PTSS, Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) dan Politeknik Muadzam Shah (PMS) dengan 12 pemain industri sebagai simbolik komitmen kerjasama menyeluruh.

Mustapha berkata industri kreatif kini semakin memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi khususnya dengan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) sekali gus generasi muda perlu dipupuk dengan kreativiti yang betul agar setanding dengan rakan sebaya di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata kementeriannya akan menilai keberkesanan festival berkenaan bagi dipertimbangkan penganjurannya secara berterusan pada masa hadapan sekali gus memastikan pelajar TVET mendapat manfaat yang lebih menyeluruh daripada pendedahan industri kreatif.

Penganjuran festival itu menghimpunkan pelajar dan pensyarah politeknik dari seluruh negara dan tokoh akademik serta penggiat industri kreatif, dengan pengisian aktiviti seperti bengkel industri, tayangan filem dan animasi, pertandingan seni kreatif serta Malam Anugerah PROFIMA.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan