AM

Malaysia Tandatangani Perjanjian BBNJ Lindungi Biodiversiti Marin - NRES

12/09/2025 05:15 PM

PUTRAJAYA, 12 Sept (Bernama) -- Malaysia secara rasmi menandatangani perjanjian di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan dengan Pemuliharaan dan Penggunaan Mampan Kepelbagaian Biologi Marin di Kawasan Luar Bidang Kuasa Negara (Perjanjian BBNJ) pada 3 Sept lepas.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perjanjian BBNJ ialah satu pencapaian bersejarah dalam usaha global untuk melindungi alam sekitar marin, khususnya di kawasan luar bidang kuasa negara.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datuk Dr Ahmad Faisal Muhamad, yang telah diberi kuasa untuk menandatangani perjanjian berkenaan bagi pihak Malaysia di ibu pejabat PBB di New York, Amerika Syarikat.

"Instrumen yang mengikat secara sah ini adalah di bawah Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (KUUL) yang bertujuan memastikan pemuliharaan jangka panjang dan penggunaan mampan biodiversiti marin melalui kerjasama antarabangsa yang lebih erat, pembangunan keupayaan, penilaian impak alam sekitar dan akses yang adil kepada sumber genetik marin.

"Langkah Malaysia menandatangani Perjanjian BBNJ ialah langkah pertama, sebelum Malaysia meratifikasi perjanjian itu," menurut NRES.

NRES menyatakan keputusan Malaysia untuk menandatangani Perjanjian BBNJ menunjukkan bukti komitmen teguh negara terhadap prinsip multilateralisme, kedaulatan undang-undang dalam tadbir urus laut, serta menyokong Agenda Pembangunan Mampan 2030, khususnya "Matlamat 14: Kehidupan Di Bawah Air".

"Sebagai sebuah negara maritim dan anggota PBB, Malaysia mengiktiraf kepentingan kritikal dalam memelihara kesihatan dan daya tahan lautan demi generasi kini dan akan datang," menurut kenyataan itu.

Malaysia juga akan terus terlibat secara konstruktif dalam kerja-kerja persediaan ke arah pelaksanaan Perjanjian BBNJ dan menjalankan proses domestik yang sewajarnya bagi tujuan pengesahan perjanjian itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan