AM

PKNS Perkenal Kempen Buy & Win, Tawar Hadiah Bernilai RM100,000

12/09/2025 06:12 PM

SHAH ALAM, 12 Sept (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melancarkan kempen ‘Buy & Win’ dengan 30 pembeli terawal projek hartanah terpilih berpeluang membawa pulang hadiah menarik bernilai sehingga RM100,000.

PKNS dalam kenyataan memaklumkan kempen yang berlangsung dari 1 Sept hingga 30 Nov itu diperkenalkan bagi menghargai sokongan pelanggan dengan menawarkan ganjaran istimewa kepada pembeli terawal yang menandatangani Perjanjian Jual Beli (PJB) bagi projek hartanah terpilih sepanjang tempoh promosi.

Menerusi kempen ini, dua peluang istimewa ditawarkan iaitu ‘PKNS Homes Beli Terus Onz!’ untuk pembeli rumah atau lot komersial yang sedia diduduki serta ‘PKNS Homes Big Bonus’ bagi projek yang masih dalam pembinaan.

Bagi segmen ‘PKNS Homes Beli Terus Onz!’, antara projek kediaman eksklusif yang ditawarkan ialah Opal Residensi dan Alena di Shah Alam, Hijauan Enklaf di Setia Alam serta Datum Jelatek di Kuala Lumpur.

“Bagi projek komersial pula, pelanggan boleh memiliki unit di Menara U di Shah Alam, Anggun Avenue di Setia Alam dan The Strand di Kota Damansara,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, ‘PKNS Homes Big Bonus’ menawarkan projek yang masih dalam pembinaan antaranya Puteri Ariana 1 di Kota Puteri, Ixora di Antara Gapi serta tiga projek di Cyber Valley iaitu Aludra, Adhara dan Auva, selain kediaman servis apartmen Linkar 52 di dalam pembangunan SA Sentral di Shah Alam.

Sepanjang kempen ini, pembeli bertuah juga berpeluang memenangi jongkong emas, jam tangan Apple Watch Series 10, iPad, permainan video Sony PlayStation 5 serta pakej percutian eksklusif sebagai nilai tambah kepada para pembeli, sekali gus membantu mereka merealisasikan impian memiliki rumah idaman.

Sebanyak 10 pemenang akan dipilih setiap bulan berdasarkan prinsip ‘siapa cepat, dia dapat’, bagi tempoh September hingga November 2025, dan pengumuman rasmi pemenang akan dibuat melalui platform media sosial PKNS Homes pada setiap bulan bermula Oktober sehingga Disember 2025.

Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran Fadli Mohd Ariff dalam kenyataan sama berkata  kempen ‘Buy & Win’ merupakan tanda penghargaan PKNS kepada pelanggan yang sentiasa menyokong projek-projek kediaman PKNS. 

Beliau berkata selain memiliki rumah berkualiti dengan nilai terbaik, pembeli juga berpeluang membawa pulang hadiah eksklusif yang dilaksanakan sepanjang tempoh kempen.

“Dengan pengalaman lebih 60 tahun dalam industri pembangunan hartanah, PKNS terus komited menyediakan pilihan kediaman berkualiti, mampu milik serta berdaya saing kepada rakyat Selangor dan sekitarnya,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai Kempen ‘Buy & Win’ dan projek-projek PKNS, layari laman sesawang www.pkns.gov.my atau platform media sosial rasmi PKNS atau PKNS Homes di Facebook serta Instagram. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan