AM

Sekolah Melayu Tertua Negara Terus Pelihara Warisan Hampir 200 Tahun

13/09/2025 01:41 PM

Oleh Siti Azila Alias

GEORGE TOWN, 13 Sept (Bernama) -- Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Gelugor di sini yang diasaskan pada 1826 terus berdiri megah menjadi antara mercu tanda penting sejarah pendidikan negara dengan kejayaannya mengekalkan identiti dan warisan hampir mencecah dua abad.

Kewujudan Galeri Warisan dan Kebudayaan di bangunan asal sekolah Melayu tertua di Malaysia itu menjadi simbol kesungguhan warga sekolah dalam memelihara khazanah pendidikan yang berusia hampir 200 tahun. 

Guru Besar SK Sungai Gelugor Isma Sharni Mohamad Saad berkata penubuhan galeri berkenaan merupakan manifestasi komitmen sekolah dalam memelihara identiti, membina kesedaran sejarah selain menyemai semangat cintakan warisan dalam kalangan warga pendidik dan pelajar.

“Bangunan asal sekolah dipilih sebagai lokasi galeri kerana simbolik dan nilai sentimental yang tinggi. Ia merupakan saksi bisu kepada perjuangan awal pendidikan Melayu, justeru sangat sesuai dijadikan ruang pameran yang mengekalkan suasana dan elemen autentik sejarah sekolah.

“Selain menjadi pusat rujukan sejarah, galeri ini berfungsi sebagai medium pendidikan tidak formal yang membolehkan murid, warga sekolah dan masyarakat umum menelusuri perjalanan panjang pendidikan negara serta memahami sumbangan tokoh terdahulu,” katanya kepada Bernama di sekolah berkenaan baru-baru ini.

Isma Sharni berkata bangunan asal sekolah yang pernah menempatkan bilik darjah kini diubah menjadi Galeri Warisan dan Kebudayaan yang mempamerkan pelbagai artifak antaranya dokumen lama, gambar arkib, meja, bangku serta papan hitam asal, buku teks tulisan Jawi, alat tulis tradisional dan bahan bantu mengajar klasik.

Beliau berkata turut dipamerkan pakaian seragam dan lencana sekolah lama, peralatan muzik tradisional, contoh tulisan Jawi, hasil kraf tangan, bahan berkaitan adat tempatan serta sejarah komuniti Gelugor selain buku, trofi, sijil dan cenderamata sumbangan bekas murid.

“Proses pengumpulan dan pemuliharaan bahan-bahan bersejarah galeri ini dilakukan secara sistematik dan berperingkat melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk guru, alumni, komuniti setempat dan institusi luar.

“Keseluruhan koleksi ini bukan sahaja mencerminkan sejarah institusi pendidikan, malah menjadi alat pedagogi berkesan dalam membentuk kefahaman murid terhadap akar sejarah dan jati diri mereka sebagai generasi pewaris,” katanya sambil memberitahu galeri berkenaan dirasmikan Datuk Seri Mahdzir Khalid pada 31 Mac 2016 yang merupakan Menteri Pendidikan ketika itu. 

Beliau berkata galeri itu sering dikunjungi bukan sahaja oleh warga sekolah lain, penuntut institusi pengajian tinggi dan wakil komuniti setempat tetapi juga pernah menerima delegasi pendidikan dari Thailand, Indonesia, Singapura dan Jepun yang mengadakan program pertukaran budaya.

Menyorot sejarahnya, Isma Sharni berkata SK Sungai Gelugor diasaskan oleh David Brown, pemilik ladang di Gelugor yang mendirikan bangsal sebagai tempat pengajaran Bahasa Melayu, al-Quran dan tulisan Jawi untuk anak-anak pekerjanya.

Beliau berkata usaha itu kemudian diteruskan oleh pengurus dan pentadbir ladang getah dan pala Rev. Beighton yang melantik tiga guru diketuai oleh Guru Besar Munshi Shaikh Mohd Tambi, namun ketika itu sekolah hanya menawarkan pembelajaran darjah satu hingga empat kepada murid lelaki.

“Pentadbiran Kerajaan Negeri-Negeri Selat mengambil alih pengurusan sekolah ini pada 1838 dan membina bangunan rasmi dikenali sebagai ‘Sekolah A’.

“Kewujudan sekolah ini menandakan bermulanya usaha tersusun memperkasakan pendidikan komuniti tempatan, sekali gus meningkatkan kadar celik huruf dalam kalangan masyarakat Melayu serta menjadi model kepada perkembangan sekolah Melayu lain di Tanah Melayu,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia khususnya yang disambut di Pulau Pinang pada 16 Sept ini amat signifikan kepada SK Sungai Gelugor kerana ia menjadi momen refleksi terhadap sumbangan institusi berkenaan dalam membangunkan pendidikan anak bangsa sejak era penjajahan.

Bagi menyemarakkan semangat patriotisme, beliau berkata sekolah menganjurkan pelbagai program berimpak seperti perarakan dan pertandingan nyanyian lagu patriotik, deklamasi sajak kemerdekaan serta pertandingan mewarna dan melukis bertemakan Jalur Gemilang.

Sambutan Hari Malaysia 2025 bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” akan diadakan pada 16 Sept di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, dekat sini dengan pelbagai pengisian menarik dan acara berkenaan dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8.30 malam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan