DUNIA

Indonesia, UAE Seru Asia Barat Bersatu Di Tengah Ketegangan Geopolitik

13/09/2025 04:04 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 13 Sept (Bernama) -- Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menggesa negara-negara Asia Barat bersatu menghadapi ketegangan geopolitik serantau, beberapa hari selepas serangan Israel pada 9 Sept ke atas Qatar mendapat kecaman antarabangsa.

Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan Presiden Indonesia Prabowo Subianto dengan rakan sejawatnya dari UAE, Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan di Abu Dhabi pada Jumaat dan hanya beberapa jam selepas Prabowo berlepas ke Doha sebagai tanda solidariti berikutan serangan itu.

Israel mengebom bangunan kediaman di Doha pada Selasa lalu, menyasarkan anggota Biro Politik Hamas ketika kumpulan itu berada di bandar berkenaan untuk membincangkan cadangan gencatan senjata dan pertukaran tawanan yang dikemukakan Amerika Syarikat (AS).

Qatar bersama Mesir dan AS menjadi pengantara dalam rundingan tidak langsung antara Israel dan Hamas mengenai kemungkinan perjanjian pertukaran tawanan serta gencatan senjata di Gaza yang dilanda peperangan.

Menurut kenyataan Sekretariat Presiden Indonesia, Prabowo dan Sheikh Mohammed menekankan keperluan kerjasama antara negara, khususnya di Asia Barat bagi memperkukuh kerjasama antarabangsa serta mengekalkan kestabilan dan keamanan global.

Pertemuan itu juga menekankan kepentingan komunikasi langsung antara pemimpin dalam menangani isu global.

Kedua-dua pemimpin turut mengesahkan semula kerjasama dua hala merentasi pelbagai sektor serta berikrar untuk membawa hubungan itu ke tahap lebih erat dan produktif.

Sheikh Mohammed turut menyatakan penghargaan terhadap lawatan Prabowo ke Abu Dhabi sambil menegaskan peranan Indonesia sebagai rakan strategik di Asia Tenggara, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan