KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Kerajaan sedang meneliti keperluan melaksanakan dasar berkaitan sovereign cloud atau pengkomputeran awan berdaulat bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan data negara terjamin, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata langkah itu penting memandangkan Amerika Syarikat melaksanakan Clarifying Lawful Overseas Use of Data Act (Cloud Act) yang membolehkan pihak berkuasa negara itu mengakses data disimpan oleh syarikat teknologi Amerika, walaupun data itu berada di luar negara.
Menurutnya, beberapa negara lain turut menimbang dasar serupa bagi melindungi kepentingan nasional mereka.
“Dalam hal ini, kita perlu mula meneliti aspek-aspek keselamatan yang perlu diterapkan dalam penggunaan pengkomputeran awan bagi memastikan data terutama yang sangat sensitif dan terperingkat, sentiasa selamat.
“Setakat ini, kerajaan belum mengambil apa-apa tindakan namun proses penelitian sedang dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas menjadi panelis pada forum berkaitan keselamatan dalam talian dan kecerdasan buatan (AI) sempena pameran belia 'Youth Empowerment Fair' di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC) hari ini.
Fahmi menegaskan bahawa dasar sovereign cloud berkait rapat dengan isu kedaulatan negara memandangkan majoriti platform teknologi dan media sosial kini dimiliki syarikat teknologi gergasi (Big Tech) yang mengawal data pengguna.
“Contohnya, semua maklumat yang dimasukkan di Facebook dimiliki oleh Facebook, begitu juga dengan TikTok. Jadi isu siapa pemilik data ini perlu dibincangkan dengan lebih mendalam.
“Akan tetapi kerajaan juga perlu memastikan bahawa sebarang perancangan (dasar) yang dibuat bukan hanya untuk memenuhi keperluan semasa tetapi turut memberikan manfaat untuk kepentingan masa depan negara,” katanya.
Sovereign cloud merujuk kepada konsep sesebuah negara atau komuniti mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap data mereka termasuk lokasi penyimpanan, kaedah capaian dan pihak yang boleh mengawalnya.
Dasar ini sering dilihat sebagai pelengkap kepada usaha melindungi privasi rakyat serta keselamatan maklumat strategik kerajaan.
Sementara itu, Fahmi memaklumkan Kempen Internet Selamat di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menjelajah ke 2,611 sekolah di seluruh negara setakat semalam iaitu melebihi 25 peratus daripada keseluruhan sasaran lebih 10,000 sekolah.
“Usaha ini penting kerana kita dapati ada keperluan untuk meningkatkan kesedaran bukan sahaja dalam kalangan Generasi Z tetapi juga Generasi Alpha, iaitu anak-anak di peringkat bangku sekolah.
“Dengan cara ini mereka akan faham bahawa dunia digital menawarkan banyak kelebihan namun turut disertai risiko yang perlu ditangani melalui penggunaan secara selamat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial