AM

KPWKM Perkukuh Perlindungan Kanak-kanak Menerusi Program Advokasi Dan Jelajah Kasih

13/09/2025 06:54 PM

ALOR SETAR, 13 Sept (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memperkukuh perlindungan dan kesejahteraan kanak-kanak menerusi Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak dan Jelajah Kasih Komuniti 2025 yang diadakan di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) Pokok Sena, dekat sini, hari ini. 

Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata program itu bermatlamat menggerakkan seluruh lapisan masyarakat termasuk ibu bapa dan komuniti setempat agar bersama-sama memastikan kebajikan, keselamatan dan perkembangan kanak-kanak terpelihara sepenuhnya.

"Usaha ini juga menyokong inisiatif kerajaan dalam mencegah penderaan fizikal, emosi, seksual, pengabaian, eksploitasi atau sebarang bentuk penganiayaan sejajar dengan Akta Kanak-Kanak 2001.

"Keprihatinan semua pihak amat penting kerana anda adalah mata dan telinga masyarakat. Usah takut untuk membuat aduan kerana semakin cepat laporan dibuat, semakin cepat kanak-kanak dapat diselamatkan," katanya semasa berucap pada program berkenaan hari ini. 

Beliau turut menyeru semua pihak segera melaporkan sebarang kes penderaan atau pengabaian kanak-kanak melalui Talian Kasih 15999, WhatsApp 019-2615 999 atau aplikasi mudah alih Talian Kasih.

"Menurut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, sebanyak 514 kes melibatkan kanak-kanak telah direkodkan di negeri ini antara Januari hingga Julai lepas. Situasi ini memerlukan perhatian serius semua pihak bagi mencari jalan penyelesaian.

"Bagi menangani isu ini, KPWKM melalui JKM telah berjaya melaksanakan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak di 33 sekolah di negeri ini, melibatkan lebih 10,303 peserta pada 2024. Susulan kejayaan itu, program ini akan diperluas di 300 sekolah lagi pada tahun ini sebagai kesinambungan kepada usaha berterusan ini," katanya. 

Sementara itu, Noraini berkata sebagai nilai tambah dalam teras strategik untuk melindungi dan membangun kanak-kanak, kerajaan telah memperluas pelaksanaan kepada 30 PAKK di seluruh Malaysia.

Beliau berkata inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh advokasi perlindungan kanak-kanak, sebagai satu gerakan nasional yang menyeluruh dan inklusif.

"Program hari ini turut diserikan dengan Kayuhan Jelajah Kasih Komuniti 2025, simbolik kepada semangat empati, perpaduan dan tanggungjawab sosial bersama. Melalui aktiviti kayuhan ini, pemimpin, agensi kerajaan dan masyarakat berpeluang berinteraksi secara lebih dekat, sekali gus memperkukuh jaringan kerjasama dalam komuniti," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan