SIBU, 13 Sept (Bernama) -- Ekosistem Sungai Igan di sini boleh terjejas serius jika penduduk masih dengan sikap membuang sampah ke dalam sungai, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapa’ee.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata tindakan berkenaan bukan sahaja menjejaskan kebersihan dan keindahan sungai, malah sampah yang tidak terurai dalam tempoh lama boleh menimbulkan pencemaran serius kepada persekitaran.
“Lebih membimbangkan apabila kita mendapati banyak sampah terapung atau tersangkut di bawah rumah,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Keselamatan Kebersihan Sungai anjuran Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) dan Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) hari ini.
Dr Annuar berkata Majlis Perbandaran Sibu (MPS) telah lama menyediakan perkhidmatan kutipan sampah di Kampung Hilir dan Kampung Nangka, justeru penduduk dinasihatkan mengumpul sampah dalam beg plastik untuk dikutip berbanding membuangnya ke dalam sungai.
“Selepas ini mungkin akan ada program susulan untuk memastikan sampah terkumpul di bawah rumah dapat dibersihkan secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata MPS dan LSS akan bekerjasama memastikan kawasan sepanjang Sungai Igan sentiasa terpelihara selain meningkatkan kesedaran masyarakat agar bersama-sama memelihara kebersihan dan keselamatan sungai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial