JENAYAH & MAHKAMAH

Op Tutup: Polis Keluar 614 Saman, Sita 135 Motosikal

14/09/2025 10:40 PM

BUKIT MERTAJAM, 14 Sept (Bernama) -- Polis mengeluarkan 614 saman atas pelbagai kesalahan dan menyita 135 motosikal dalam Op Tutup Samseng Jalanan Bersepadu di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) susur keluar Jalan Permatang Pauh, Seberang Jaya di sini, awal pagi tadi.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook memaklumkan enam individu juga ditahan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta tiga lagi kerana positif methamphetamine dan ketamin.

“Dalam operasi untuk membanteras kegiatan samseng jalanan mat rempit, polis mengesan beberapa kumpulan remaja bermotosikal dan berkereta berkumpul di tepi lebuh raya dan susur keluar Permatang Pauh bagi menyaksikan penunggang motosikal berlumba,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan tersebut memaklumkan kegiatan pada cuti hujung minggu itu menimbulkan kegusaran kepada pengguna lebuh raya kerana mereka berlumba dengan kelajuan tinggi.

Mereka juga membuat bunyi bising melalui ekzos kenderaan diubah suai, menunggang motosikal melawan arus dan secara zig-zag serta melakukan aksi wheelie yang boleh membahayakan diri serta pengguna jalan raya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan