KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Sempena Hari Malaysia, rakyat diseru melangkah ke hadapan dengan komitmen baharu membina negara yang bersatu, inklusif dan seimbang, tanpa ada wilayah atau komuniti yang terpinggir.
Pengerusi Alliance for a Safe Community Tan Sri Lee Lam Thye berkata masa depan negara akan lebih cerah jika rakyat terus memperkukuh kepercayaan antara wilayah, merapatkan jurang pembangunan serta menjunjung keadilan untuk semua.
“Janji Malaysia bukan sekadar pada kemajuan ekonominya, tetapi juga pada nilai kesederhanaan, saling menghormati dan perpaduan yang mengikat kita sebagai satu bangsa.
“Pada Hari Malaysia ini, kita mengenang detik bersejarah pada 1963 apabila Sabah dan Sarawak bersama Tanah Melayu membentuk Malaysia – sebuah kesatuan berteraskan kepercayaan, saling menghormati dan aspirasi bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata lebih enam dekad kemudian, kekuatan Malaysia tetap terletak pada kepelbagaian rakyatnya.
Lee menegaskan perpaduan Malaysia bukan bermakna keseragaman, sebaliknya penyatuan pelbagai budaya, tradisi dan identiti dalam perkongsian takdir bersama.
“Ketika kita meraikan sambutan ini, marilah kita meneguhkan kembali semangat perkongsian yang membentuk Persekutuan.
“Kesepaduan sejati memerlukan integrasi wilayah yang adil dan inklusif. Pembangunan seimbang mesti menjadi tonggak kemajuan, memastikan Sabah dan Sarawak tidak ketinggalan,” katanya.
Beliau menambah kekayaan dan peluang negara perlu diagihkan secara adil agar setiap rakyat, dari Johor hingga Sabah, dari Perlis hingga Sarawak, dapat menikmati kemakmuran bersama.
Hari Malaysia 2025 bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” akan berlangsung esok (16 Sept) di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, Pulau Pinang dengan pelbagai acara menarik disediakan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan sambutan itu pada 8.30 malam, yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial