EKONOMI

Malaysia Sasar Peroleh Eksport RM230 Juta Dalam Ekspo China-ASEAN Ke-22

15/09/2025 01:28 PM

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasarkan jualan eksport sebanyak RM230 juta pada Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-22, yang dijadualkan bermula 17 hingga 21 Sep 2025 di Nanning, China.

Delegasi Malaysia ke CAEXPO kali ini menghimpunkan lebih 70 organisasi termasuk tiga kementerian, enam agensi kerajaan utama dan pempamer pelbagai industri di Malaysia.

Pavilion Malaysia akan membawakan pameran komprehensif mengenai keupayaan bekalan negara di bawah teraju MATRADE.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz dalam kenyataan hari ini berkata walaupun Malaysia dikenali dengan durian, kopi dan sarang burung yang menjadi kesukaan di pasaran, keistimewaan negara ini adalah lebih daripada itu.

“Pada tahun ini, kami berbangga untuk membawakan tawaran yang lebih luas seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, farmaseutikal, kosmetik, bahan binaan dan sektor bernilai tinggi seperti penyelesaian logistik dan pengedaran, teknologi dan kecerdasan buatan.

“Tawaran yang pelbagai ini menyerlahkan keupayaan Malaysia yang semakin meningkat dan mencerminkan kesediaan kami bagi memenuhi permintaan pasaran China dan ASEAN yang menjadi lebih berkembang.

“Matlamat kami adalah untuk meletakkan Malaysia sebagai rakan perdagangan yang berpandangan ke hadapan, dipercayai dan berdaya saing di rantau ini," kata beliau.

Menurut kenyataan itu, MATRADE telah menyusun secara strategik siri program promosi berimpak tinggi termasuk sesi padanan perniagaan bersasar, pameran produk dan peluang rangkaian bagi mengoptimumkan penyertaan Malaysia ke-22 di CAEXPO.

Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kebolehlihatan jenama Malaysia, menggalakkan kerjasama penting dan mempercepat pertumbuhan eksport ke China selaku rakan perdagangan penting Malaysia.

Dalam usaha untuk meningkatkan sesi libat urus perdagangan dua hala, MATRADE dengan kerjasama China Construction Bank (CCB) dan Sekretariat Ekspo China-ASEAN akan menganjurkan Sesi Padanan Perniagaan B2B Malaysia-China Ketujuh 2025 pada 16 September di Nanning, China.

Acara yang dinanti-nantikan ini akan membawakan lebih 130 mesyuarat perniagaan yang telah diatur  antara pengeksport Malaysia dan pembeli China yang berperanan sebagai platform utama untuk meneroka peluang perdagangan baharu, menjalin perkongsian strategik dan perjanjian eksport yang selamat.

Sebagai penyertaan pertama MATRADE secara fizikal dalam CAEXPO, sesi tahun ini memperlihatkan komitmen MATRADE untuk memudahkan sesi libat urus yang bermakna secara bersemuka.

Menurutnya langkah ini bagi membolehkan rundingan perniagaan masa nyata sekali gus menyediakan asas kepada kehadiran kukuh Malaysia di CAEXPO kali ini.

Dalam usaha menyokong langkah menembusi pasaran, MATRADE akan menganjurkan lawatan untuk syarikat-syarikat Malaysia ke Taman Perindustrian China-Malaysia Qinzhou (CMQIP) dan Bursa Dagangan China-ASEAN (CAMEX).

Lawatan ini bertujuan memberikan pemahaman langsung mengenai ekosistem perniagaan di China serta mengenal pasti peluang bagi kerjasama jangka panjang.

CAEXPO kekal menjadi antara platform perdagangan penting yang menghubungkan ASEAN dan China, dan penyertaan Malaysia dalam edisi ke-22 ini dijangka menjana peluang perdagangan dan pelaburan yang signifikan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan