KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) percaya resolusi Uniting for Peace atau Bersatu untuk Keamanan yang digariskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mampu menjadi jalan penyelesaian bagi menghentikan kekejaman Israel di Gaza.
Presiden MAPIM Muhammad Azmi Abdul Hamid berkata sejak genosid bermula dua tahun lepas, lebih 80 infrastruktur kritikal telah dimusnahkan dan ribuan nyawa terkorban, namun semua rundingan gencatan senjata gagal dilaksanakan kerana Israel dilindungi kuasa besar terutama Amerika Syarikat.
“Ini bermakna, jika kita dapat undi besar dalam perhimpunan agung PBB, kita boleh putuskan untuk menghantar tentera berlindung. Ini sahaja bahasa yang difahami Israel kerana diplomasi dan perundingan tidak lagi berkesan,” katanya pada program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV hari ini.
Beliau turut menegaskan Israel mesti dikenakan sekatan penuh termasuk penggantungan hubungan diplomatik oleh negara-negara Islam.
“Sekarang kita tidak boleh hanya bergantung pada kenyataan kecaman. Perlu ada tindakan konkrit di peringkat antarabangsa dan rakyat juga mesti terus mendesak,” katanya.
Muhammad Azmi berkata Malaysia kini dilihat antara negara Islam paling lantang menyuarakan isu Palestin di pentas antarabangsa.
“Suara Perdana Menteri Malaysia di platform antarabangsa sering mendapat perhatian kerana dianggap berprinsip dan mempunyai asas moral. Negara lain menanti Malaysia untuk memimpin suara pertahanan ini,” katanya.
Beliau turut menekankan peranan media dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam menangkis propaganda Pro Israel di peringkat global, sambil menyeru rakyat Malaysia supaya terus konsisten menunjukkan solidariti terhadap Palestin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial