Daripada V. Sankara
DILI (Timor-Leste), 17 Sept (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini mengadakan wawancara eksklusif selama 40 minit bersama Presiden Timor-Leste dan Penerima Hadiah Keamanan Nobel Dr Jose Ramos-Horta di Istana Presiden di sini.
Sesi itu adalah sebahagian daripada misi liputan lapan hari Bernama ke Timor-Leste, dihoskan oleh Ketua Program Bahasa Inggeris Bernama TV Gerard Ratnam.
Wawancara berkenaan berlangsung di Sala Presidente Nicolau Lobato, dewan istiadat yang dinamakan sempena wira kemerdekaan negara itu.
Selepas wawancara itu, Ramos-Horta sendiri mengiringi delegasi Bernama ke Dewan ASEAN, sebuah fasiliti yang dicetuskan beliau sebagai simbol aspirasi Timor-Leste untuk menyertai ASEAN.
Ramos-Horta berkata beliau berharap agar setiap negara ASEAN turut menubuhkan Dewan ASEAN masing-masing sebagai cerminan fizikal kepada visi serta identiti bersama blok itu.
Delegasi Bernama diketuai oleh Pemangku Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Mohd Shukri Ishak menyerahkan kepada Ramos-Horta sehelai baju batik rekaan khas, sebuah buku meja kopi Bernama yang mendokumentasikan sejarah agensi itu serta plak peringatan.
Bernama bertindak sebagai agensi media rasmi dan penyelaras Pusat Media Antarabangsa untuk Sidang Kemuncak ASEAN yang akan dianjurkan oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN di Kuala Lumpur pada Oktober ini.
Dalam wawancara itu, Ramos-Horta memuji kepimpinan dan kemajuan Malaysia, sambil menegaskan negara ini sebagai contoh teladan dalam pemodenan serta kerjasama serantau.
“Apabila saya ke Malaysia, saya berasakan seolah-olah berada di sebuah negara industri moden dengan hospital dan infrastruktur yang maju. Kini, ramai rakyat Indonesia dan lain-lain negara memilih ke Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan perubatan berbanding ke Eropah.
“Malaysia perlu terus berkongsi kemajuan ini dengan negara-negara lain dalam ASEAN,” katanya.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Malaysia dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan berterusan terhadap usaha Timor-Leste menyertai ASEAN.
“Kami berterima kasih kepada Malaysia dan semua pemimpin ASEAN atas kepercayaan bahawa kami mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota ASEAN. Kami mungkin ada kelemahan, namun kami berjanji akan memperbaiki dan menjadi lebih baik daripada tahun ke tahun,” katanya.
Ramos-Horta berkata Timor-Leste akan kekal sebagai ‘rakan setia dan kukuh’ ASEAN, menyumbang kepada keamanan, kestabilan serta persaudaraan di seluruh rantau ini.
“Matlamat kami adalah menjadi sebahagian daripada visi ASEAN iaitu tidak meninggalkan sesiapa pun, serta membantu menjadikan Asia Tenggara sebagai mercu tanda keamanan, kemakmuran dan keadilan. Mudah-mudahan suatu hari nanti, saya dapat mencalonkan ASEAN sendiri untuk Hadiah Keamanan Nobel,” katanya.
Wawancara penuh selama 40 minit itu akan disiarkan Bernama TV menerusi program The Nation: ASEAN Plus sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober, dengan tarikh siaran akan diumumkan kemudian.
Sebagai sebahagian daripada misinya di Timor-Leste, Bernama turut dijadualkan mengadakan wawancara bersama Ketua Biskop Metropolitan Dili Kardinal Virgilio do Carmo da Silva, SDB.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial