KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Kementerian Digital komited untuk membina sebuah ekosistem bagi menyokong usaha negara ke arah menjadi Negara Kecerdasan Buatan (AI) menjelang 2030.
Menterinya Gobind Singh Deo berkata kementerian mengambil langkah konkrit dengan memanfaatkan infrastruktur dan mengadaptasi teknologi bagi memastikan kesediaan negara dalam membangunkan sebuah negara AI.
“Apabila melibatkan pembinaan negara AI, kami mengambil langkah nyata yang menunjukkan komitmen kami untuk membina sebuah ekosistem.
“Hari ini, kita sudah melihat banyak industri yang menggunakan penyelesaian AI dalam operasi mereka. Lama-kelamaan, kita akan membangunkan dan mengadaptasi penyelesaian ini dengan lebih pantas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas melancarkan Sidang Kemuncak SmartGov Malaysia 2025 dan Sidang Kemuncak Malaysia Digital Xceleration (MDX) 2025 di sini hari ini.
Gobind juga berkata negara menjangkakan lebih banyak pelaburan dalam ekonomi digital selain bergerak ke hadapan bagi mencapai sumbangan 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025.
“Bagi ekonomi digital, sektor ini dijangka mencapai sumbangan 30 peratus kepada KDNK menjelang 2030.
“Saya percaya sasaran (25.5 peratus) boleh dicapai dan masih banyak kerja yang perlu dilakukan oleh kementerian, tetapi yakinlah, kami komited untuk merealisasikannya,” katanya.
Sementara itu, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berkata Sidang Kemuncak MDX 2025 yang berlangsung serentak dengan Sidang Kemuncak SmartGOV Malaysia 2025, menonjolkan perjalanan kerajaan dalam menerapkan perubahan digital.
Dalam satu kenyataan hari ini, MDEC berkata sidang kemuncak berkenaan mempamerkan keupayaan Malaysia dalam memanfaatkan rangkaian 5G negara secara menyeluruh serta ekosistem Digital Malaysia (MD) yang lebih meluas.
Katanya, ini termasuk penyelesaian, bakat dan infrastruktur yang menegaskan komitmen negara terhadap keterangkuman, ketahanan dan kelestarian dalam ekonomi digital.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Anuar Fariz Fadzil memberitahu Sidang Kemuncak MDX 2025 bukan sekadar pameran teknologi sebaliknya merupakan platform untuk tindakan.
"Dengan menghubungkan inovator global, bakat tempatan, pelabur dan pembuat dasar, kami sedang membina kerjasama yang akan memacu ekonomi digital Malaysia ke hadapan.
“Bersama-sama dengan SmartGOV Malaysia dan Smart City Expo Kuala Lumpur 2025, MDX mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab digital dipercayai di ASEAN selain bersedia untuk menjadi pemangkin kepada masa depan yang bernilai trilion ringgit,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial