FOKUS BERNAMA

Jeriji Kekal: Perlindungan Atau Perangkap Maut?

18/09/2025 09:57 AM
Daripada Muhammad Afiq Mohd Asri

Setiap kali pulang ke rumah, Hamidah Ismail, 52, akan memeriksa semula tingkap dan pintu yang dipasang jeriji besi di kediamannya di Wakaf Bharu, di sini.

Baginya, jeriji itu benteng utama melindungi keluarganya daripada risiko jenayah, terutamanya kejadian pecah rumah yang semakin kerap berlaku di kawasan perumahan sekitar.

“Sekarang orang makin terdesak, kes pecah rumah menjadi-jadi. Jadi, kami rasa lebih tenang bila semua tingkap dan pintu ada jeriji,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Namun rasa tenangnya kian tergugat apabila berita tentang kejadian kebakaran yang mengorbankan nyawa kerana mangsa gagal menyelamatkan diri akibat jeriji semakin kerap dilaporkan. 

 

JERIJI JADI PERANGKAP MAUT

Kebimbangan Hamidah bukanlah tanpa asas. Berkongsi pengalamannya, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata setiap kali berdepan tragedi kebakaran yang melibatkan kematian kerana jeriji kekal, ia menjadi episod pilu yang tidak mudah padam dalam ingatannya.

“Jeriji yang tidak boleh dibuka dari dalam sangat menyukarkan operasi menyelamat. Kita terpaksa gunakan tuil atau pemotong khas untuk memotong jeriji dan ini ambil masa tambahan. Dalam kebakaran, setiap minit amat berharga kerana asap toksik dan suhu tinggi boleh membunuh mangsa dalam masa singkat,” katanya.

pic-2

Menurutnya, di Kelantan, walaupun hanya tiga kes direkodkan oleh JBPM dalam tempoh 20 tahun, termasuk seorang wanita warga emas, setiap kejadian meruntun perasaan.   

“Dalam kes wanita warga emas ini, jeriji berkunci dengan mangga terletak di bahagian luar. Api pula marak di dapur dan ruang tamu. Mangsa tidak dapat keluar langsung. Apabila bomba sampai, kita dapati wanita itu terbaring tidak sedarkan diri akibat terhidu asap tebal,” katanya.

Di Sarawak, pernah berlaku satu insiden tragis melibatkan dua nenek dan dua cucu mereka. Mereka terperangkap di tingkat atas rumah yang dipasang jeriji berkunci mangga. Api bermula dari tingkat bawah, menutup sepenuhnya laluan tangga manakala jeriji tingkap di tingkat atas berkunci rapat tanpa laluan alternatif. Mereka ditemukan rentung berpelukan di dalam bilik tidur.

“Kejadian seperti ini benar-benar meninggalkan kesan mendalam kepada semua anggota penyelamat. Kita boleh bayangkan keadaan mangsa, mereka sudah cuba mencari ruang selamat, tetapi akhirnya hanya mampu menunggu maut,” katanya.

Malah, pintu jeriji berkod digital yang kelihatan canggih dan diyakini lebih selamat turut berisiko menjadi perangkap maut sekiranya berlaku kecemasan, terutamanya jika mangsa panik dan terlupa kod, atau sistem mengalami kegagalan. Dalam situasi genting seperti kebakaran, kelewatan walau beberapa saat sekalipun boleh meragut nyawa.

Menurutnya, kes seumpama itu dilaporkan berlaku di Selangor apabila mangsa gagal melarikan diri setelah terlupa kod yang ditetapkan di pintu jeriji berkod digital angkara panik dan asap memenuhi rumah. Akhirnya mangsa meninggal dunia kerana terhidu asap toksik sebelum sempat pintu dibuka.

“Inilah yang kita mahu masyarakat faham. Jeriji memang penting untuk keselamatan daripada jenayah, tetapi mesti direka bentuk supaya mesra nyawa. Kalau tidak, ia bukan lagi pelindung tetapi boleh menjadi kubur sendiri,” tegasnya.

 

KERANA TAKUT JENAYAH FOKUS KESELAMATAN, ABAIKAN NYAWA

Dalam kebanyakan kes, Farhan Sufyan berkata ramai pemilik rumah terlalu fokus pada keselamatan daripada pencuri sehingga mengabaikan aspek keselamatan nyawa semasa kecemasan.

Mereka terlupa ketika cemas, mencari kunci mangga atau mengingat kod digital adalah sesuatu yang hampir mustahil.

pic-3

“Biasanya bila panik, otak kita gagal fokus. Dalam asap tebal, lampu terpadam, kita tak ingat di mana kunci. Kadang-kadang mangga diletak di lokasi tersembunyi atas faktor keselamatan, akhirnya jadi perangkap,” katanya.

Menurutnya, ramai juga yang menggunakan kunci mangga jenis besar atau lebih daripada satu, tanpa sedar tindakan itu boleh melambatkan proses menyelamat.

“Bayangkan, bomba sampai dan lihat ada dua mangga di jeriji pintu depan. Kami kena potong satu persatu. Setiap kunci mangga atau selak besi itu perlukan masa tambahan. Dalam masa itu, api terus merebak dan asap terus memenuhi ruang. Mangsa yang terperangkap pula akan menghidap sesak nafas dalam beberapa minit,” katanya.

Lebih membimbangkan, terdapat pemilik rumah yang memasang jeriji besi kekal tanpa sebarang panel buka atau escape window. Walaupun rekaan seperti ini lebih kukuh, ia langsung tidak memberi peluang untuk meloloskan diri jika pintu utama terhalang api atau runtuhan.

“Paling selamat ialah gunakan jeriji yang boleh dibuka dari dalam dengan satu klip kunci atau sistem quick release. Tetapi ramai takut buat begitu kerana bimbang pencuri akan tahu cara membukanya,” katanya.

 

TIADA PIAWAIAN MANDATORI, HANYA NASIHAT YANG SERING DIABAIKAN

Beliau berkata buat masa ini pemasangan dan rekaan jeriji bergantung sepenuhnya pada keputusan pemilik rumah dan kontraktor keselamatan yang dilantik.

Namun, JBPM menyarankan setiap kediaman sekurang-kurangnya mempunyai satu laluan keluar kecemasan yang tidak bergantung pada mangga atau kod.

pic-4

“Kami tidak mewajibkan reka bentuk tertentu (jeiriji) kerana bukan bidang kuasa. Tetapi paling penting, sekurang-kurangnya ada satu laluan keluar yang mudah dibuka semasa kecemasan. Kalau semua jeriji berkunci mangga atau dikimpal terus, risiko untuk terperangkap sangat tinggi,” katanya.

Jeriji yang disyorkan JBPM ialah jenis quick release atau pembuka pantas, yang membolehkan penghuni hanya memutar selak atau tombol dari dalam rumah untuk membuka sepenuhnya panel jeriji.

Reka bentuk ini sudah digunakan meluas di Singapura dan Hong Kong, terutama di unit pangsapuri tinggi, bagi memastikan ada laluan kecemasan jika berlaku kebakaran atau gempa bumi.

Namun di Malaysia, reka bentuk mesra nyawa seperti ini masih kurang mendapat sambutan kerana masyarakat lebih mengutamakan kekuatan jeriji berbanding menyelamatkan nyawa.

Beliau menekankan, tanpa kesedaran masyarakat dan perubahan sikap terhadap pentingnya jeriji mesra nyawa, tragedi yang sama akan terus berulang dengan menukar rumah sendiri menjadi perangkap maut.

 

MITOS "TAK AKAN BERLAKU KEPADA SAYA"

Bagi Farhan Sufyan, cabaran besar yang dihadapi pasukan bomba ialah sikap masyarakat yang menganggap kebakaran tidak akan berlaku pada mereka.

“Ramai rasa kebakaran hanya berlaku di rumah orang lain. Mereka tak sedar kebakaran boleh berlaku hanya kerana satu sambungan elektrik rosak atau soket terlebih beban,” katanya dengan nada tegas.

pic-5

Beliau mendedahkan di Kelantan sahaja, statistik JBPM mencatatkan bahawa 78 peratus kebakaran rumah berpunca daripada masalah elektrik, termasuk pendawaian lama, penggunaan peralatan elektrik berkuasa tinggi secara serentak dan sambungan pendawaian tidak selamat.

“Mereka guna sambungan ‘extension plug’ berkali-kali, cucuk pelbagai peralatan elektrik pada soket yang sama. Ada juga rumah lama yang pendawaian sudah usang lebih 20 tahun tapi tak pernah buat pemeriksaan. Semua ini bom jangka,” katanya.

Farhan Sufyan berkata kebakaran boleh berlaku bila-bila masa, tanpa amaran, sama ada waktu penghuni sedang tidur, keluar bekerja, mahupun ketika mereka berada di rumah pada siang hari.

“Bila api dah marak, memang sukar kawal. Yang paling bahaya bukan api itu sendiri tetapi asap toksik yang memenuhi ruang dalam beberapa minit. Kalau tiada laluan keluar yang cepat, mangsa boleh pengsan akibat sesak nafas sebelum sempat api sampai,” katanya.

Beliau menegaskan, selagi mitos “tak akan berlaku kepada saya” terus menebal dalam minda masyarakat, selagi itulah tragedi jeriji menjadi kubur sendiri akan terus berulang.

 

ALAT PEMADAM API: MASIH DIANGGAP TIDAK PENTING

Farhan Sufyan turut kesal apabila kebanyakan rumah masih tidak mempunyai alat pemadam api, meskipun kosnya di bawah RM100.

“Tapi orang tak beli sebab rasa membazir. Mereka tak nampak ia boleh menyelamatkan nyawa dan harta benda,” katanya.

Menurutnya, majoriti masyarakat menganggap alat pemadam api hanya penting di pejabat, kedai atau kilang kerana diwajibkan oleh undang-undang. Namun di rumah, kesedaran itu hampir tiada meskipun kebakaran kediaman merekodkan angka tinggi setiap tahun.

“Kalau api baru mula marak di dapur, contohnya periuk yang terbakar, alat pemadam api boleh padamkan serta-merta sebelum sempat merebak ke langsir atau siling,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa alat pemadam api bukan sahaja berguna semasa kebakaran kecil, malah dapat memberi masa tambahan kepada penghuni untuk keluar menyelamatkan diri jika api mula merebak dengan pantas.

“Bila api kecil kita boleh padam, kalau api dah besar sekurang-kurangnya boleh guna pemadam api untuk buat laluan keluar. Tapi kalau tak ada langsung, memang kita cuma bergantung kepada nasib," katanya.

Beliau turut berkongsi bahawa di beberapa negara maju, termasuk Jepun dan Korea Selatan, alat pemadam api di rumah adalah kelengkapan asas sama penting seperti lampu suluh, kit kecemasan dan peti ubat.

“Di Malaysia, kita hanya sedar pentingnya bila kebakaran dah berlaku dan rumah musnah terbakar. Masa tu dah terlambat,” katanya.

 

KEMPEN KESEDARAN: DARI TADIKA KE KOMUNITI

Bagi membetulkan persepsi tersebut, JBPM Kelantan giat menjalankan kempen keselamatan kebakaran di sekolah dan komuniti setempat. Tahun ini setakat Ogos, sebanyak 158 program keselamatan kebakaran telah diadakan di seluruh negeri, termasuk latihan menyelamatkan diri ketika kebakaran dan cara menggunakan alat pemadam api dengan betul.

“Kita beri pendidikan bermula dari kanak-kanak tadika, sekolah rendah dan komuniti. Yang paling penting mereka tahu apa tindakan pertama ketika kebakaran,” katanya.

Menurut Farhan Sufyan, mendidik kanak-kanak dari usia kecil adalah langkah paling berkesan untuk membentuk generasi yang lebih peka terhadap risiko kebakaran dan langkah menyelamatkan diri.

Di peringkat komuniti pula, program JBPM memberi penekanan kepada aspek pencegahan kebakaran seperti cara menyelenggara pendawaian rumah, memeriksa peralatan elektrik dan memilih jeriji keselamatan mesra nyawa.

“Kita juga ajar mereka cara guna alat pemadam api. Ramai tak tahu, mereka sangka kena goncang dulu atau sembur pada api atas. Sebenarnya kena tarik pin keselamatan, halakan muncung ke pangkal api dan sembur dari jarak satu meter sambil bergerak ke depan,” jelasnya.

Beliau berkata walaupun program kesedaran dijalankan secara berterusan, cabaran terbesar adalah memastikan ilmu itu benar-benar dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

“Kesedaran tanpa tindakan tidak membawa apa-apa makna. Kita boleh beri latihan dan ceramah, tapi kalau balik rumah masih biar pendawaian lama rosak, masih pasang jeriji tanpa laluan kecemasan, tragedi akan terus berulang," katanya.

 

BILA JERIJI BUKAN LAGI PELINDUNG

Di hujung perbualan, Farhan Sufyan memberi satu peringatan yang tegas bahawa keselamatan rumah daripada kecurian memang penting, namun keselamatan nyawa paling utama.

“Kalau api marak, mangga tak boleh dibuka, kod digital tak diingati, jeriji itu bukan lagi perlindungan. Ia jadi perangkap maut,” katanya.

Beliau berkata ramai pemilik rumah terlalu fokus melindungi harta benda sehingga terlupa bahawa rumah itu juga adalah tempat berlindung untuk keluarga mereka.

"Tidak ada gunanya melabur ribuan ringgit pada jeriji yang paling kukuh di pasaran, jika akhirnya jeriji itu menutup peluang mereka menyelamatkan diri.

“Kita perlu tanya diri sendiri, adakah kita sanggup menggadaikan nyawa keluarga semata-mata kerana takutkan pencuri? " soalnya.

Farhan Sufyan berkata keselamatan sebenar ialah apabila penghuni rumah masih ada jalan keluar untuk menyelamatkan diri.

“Bukan salah nak lindung rumah daripada pencuri. Tapi jangan sampai kita mengorbankan nyawa sendiri,” tegasnya.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan