KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) merancang untuk menggabungkan Klinik Desa Simpudu dan Klinik Desa Biau di Papar, Sabah selain menaik taraf fasiliti itu kepada Klinik Kesihatan Jenis 3 di tapak baharu bagi memastikan akses perkhidmatan kesihatan lebih menyeluruh dan berkualiti kepada penduduk setempat.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata usaha ini mencerminkan iltizam KKM dalam memastikan rakyat Sabah terus menerima rawatan yang terbaik, selamat dan selesa, meskipun berdepan cabaran alam dan infrastruktur.
“Kementerian turut meluluskan peruntukan RM1 juta pada tahun hadapan untuk merobohkan struktur lama Klinik Desa Simpudu dan membina klinik baharu di tapak bersebelahan berikutan bangunan sedia ada tidak lagi selamat digunakan berikutan mendapan tanah akibat hakisan tebing sungai.
“Klinik Desa Simpudu itu mula beroperasi sejak 2011, menjadi tunjang perkhidmatan kesihatan primer kepada lebih 6,229 penduduk,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dzulkefly sebelum itu meninjau kedua-dua fasiliti berkenaan sempena lawatan kerja beliau ke Sabah.
Beliau berkata Klinik Desa Biau yang beroperasi sejak 2004 dan menjadi rujukan utama 5,056 penduduk akan berperanan menampung rawatan semua pesakit dari Klinik Desa Simpudu untuk tempoh enam hingga sembilan bulan sepanjang tempoh pembinaan klinik baharu.
“Selain itu, saya telah mengarahkan kerja-kerja pembaikan kecil di ruang belakang Klinik Desa Biau bagi dijadikan parkir berbumbung serta ruang menunggu guna sama agar keselesaan pesakit dari kedua-dua klinik ini dapat ditambah baik,” katanya.
Selepas meninjau Klinik Desa Biau, beliau meneruskan lawatan kerja ke Klinik Desa Gadong yang mula beroperasi sejak 2004 dan kini memberikan perkhidmatan kepada lebih 8,700 penduduk.
Klinik desa berkenaan merupakan fasiliti kesihatan yang paling terjejas akibat banjir baru-baru ini daripada keseluruhan sembilan klinik KKM yang terkesan di Sabah.
Dzulkefly berkata bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan, peruntukan segera sebanyak RM50,000 telah diluluskan bagi tujuan penggantian peralatan yang rosak.
“Melihat kepada risiko yang dihadapi, langkah jangka masa panjang turut perlu dirancang. Justeru, saya telah mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah mengenal pasti tapak baharu di atas tanah Persekutuan bagi membina semula Klinik Desa Gadong.
“Lokasi sedia ada terletak di kawasan berisiko tinggi dan sentiasa terdedah kepada banjir. Insya-Allah, inisiatif ini bukan sahaja akan memastikan perkhidmatan kesihatan dapat dipulihkan segera, tetapi juga menjamin keselamatan, keselesaan dan keberlangsungan rawatan kepada masyarakat setempat dalam jangka masa panjang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial