ALOR GAJAH, 20 Sept (Bernama) -- Sebanyak 336 kes lemas di laut melibatkan 499 mangsa direkodkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dari 2020 hingga 26 Ogos tahun ini.
Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata daripada jumlah itu 176 orang berjaya diselamatkan, manakala 216 orang meninggal dunia dan 107 orang lagi masih hilang.
Beliau berkata kebanyakan mereka yang meninggal dunia atau lemas didapati tidak memakai jaket keselamatan ketika melakukan aktiviti air seperti memancing dan berenang.
"Kita ingin menegaskan bahawa pemakaian jaket keselamatan ketika melakukan aktiviti air, berenang atau menaiki bot adalah sangat penting bagi mengelak risiko lemas.
“Jika meninggal dunia atau lemas, sekurang-kurangnya tubuh mereka masih boleh terapung dan memudahkan pencarian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program “World Clean Up Day 2025” di Pantai Pengkalan Balak di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata pemantauan dan rondaan oleh anggota Maritim akan ditingkatkan di kawasan pantai yang menjadi tumpuan pelancong seperti Langkawi, Kedah; Pengkalan Balak, Melaka dan Port Dickson, Negeri Sembilan terutama pada musim cuti sekolah.
Tambah beliau inisiatif itu dilaksanakan bukan semata-mata untuk mengesan kesalahan tetapi bagi memastikan semua aktiviti di kawasan pantai mengikut prosedur yang ditetapkan dan tidak mengundang bahaya kepada orang ramai.
Terdahulu, Mohd Zawawi berkata Program 'World Clean Up Day 2025' merupakan antara Program Sahabat Maritim dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Soroptimist International Ampang untuk membersihkan kawasan di sekitar Pantai Pengkalan Balak.
Beliau berkata Program Sahabat Maritim mula diperkenalkan pada 2020 bagi mendekati komuniti maritim dan pihak berkepentingan selain mewujudkan hubungan baik dengan Maritim Malaysia menerusi pelbagai bentuk program atau aktiviti.
"Hingga Ogos tahun ini sahaja, 23 program berjaya dianjurkan dan pada program hari ini, 150 kilogram sampah-sarap terutama plastik pembungkus dikutip di sepanjang pantai ini.
"Melalui program ini masyarakat pesisir, khususnya nelayan yang berperanan sebagai mata dan telinga kepada Maritim Malaysia boleh melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan seperti penyeludupan, pencerobohan nelayan asing atau apa jua aktiviti haram di laut," katanya.
Beliau berkata menerusi kerjasama itu, benteng pertahanan maritim negara dapat diperkukuh sekali gus menjadikan perairan Malaysia lebih selamat dan terpelihara daripada sebarang ancaman.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial