Oleh Muhammad Zulkarnain Mohd Azman
KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) – Sukan sering menjadi medan anak muda mengejar impian, namun di sebalik podium kejayaan terselindung cabaran membimbangkan iaitu gejala lesu upaya.
Lesu upaya bukan sekadar keletihan biasa, tetapi sindrom yang mampu meragut semangat, kesihatan dan masa depan atlet, malah orang awam sekalipun jika tidak ditangani dengan baik.
Bekas Pengarah Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan (SITC) merangkap Pensyarah Kanan Sains Sukan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip berkata, gejala lesu upaya tidak berlaku secara mendadak, sebaliknya melalui beberapa peringkat yang boleh dikesan menerusi simptom awal.
Antara tanda awal dikenal pasti ialah keletihan berpanjangan, gangguan tidur, kerap sakit atau cedera, kemurungan, mengasingkan diri, tekanan emosi serta penurunan prestasi mendadak.
“Jika atlet mula menunjukkan tanda-tanda ini, intervensi awal sangat penting bagi mengelakkan kesan lebih buruk terhadap prestasi dan kesejahteraan mereka,” katanya.
Menurut Hadafi Fitri, sains sukan telah membuktikan bahawa latihan tanpa keseimbangan pemulihan boleh memberi kesan negatif jangka panjang.
Beliau berkata, latihan berkesan bukan semata-mata bekerja keras, tetapi perlu dilakukan secara sistematik dan berperingkat mengikut kaedah saintifik, iaitu ansur maju dan progresif.
“Pendekatan saintifik seperti periodisasi latihan, pemulihan aktif (urutan sukan, hidroterapi, krioterapi dan sebagainya), selain pemakanan seimbang yang membekalkan nutrisi mencukupi, amat penting.
“Jika aspek ini diabaikan, atlet bukan sahaja gagal mencapai potensi terbaik, malah berisiko mengalami kecederaan kronik kerana tubuh yang kekurangan nutrisi lebih mudah cedera,” katanya.
Namun, beliau menegaskan atlet masih berpeluang pulih daripada gejala lesu upaya dengan mengamalkan kepelbagaian dalam latihan serta jadual sistematik, disokong oleh jurulatih, ibu bapa dan pihak berkepentingan sukan.
“Ramai atlet yang mengalami lesu upaya berjaya pulih dan kembali ke tahap terbaik mereka, malah ada yang menjadi juara selepas diberikan tempoh latihan dan pemulihan seimbang.
“Pemulihan perlu melibatkan penyesuaian semula latihan, sokongan psikologi dan kaedah pemulihan berasaskan sains,” katanya.
Sementara itu, jurulatih olahraga negara Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata latihan terlalu spesifik sejak usia muda, atau early specialization, boleh menyebabkan keletihan mental dan fizikal serta meningkatkan risiko kecederaan jangka panjang.
Justeru, beliau mencadangkan Malaysia mencontohi langkah negara maju seperti Sweden dan Jerman yang mengutamakan latihan berasaskan keseronokan dan pembelajaran, berbanding mengejar kejayaan segera.
“Di Sweden, misalnya, pertandingan untuk atlet bawah 10 tahun tidak menekankan kemenangan, tetapi lebih kepada keseronokan, kerja berpasukan dan pembangunan kemahiran asas.
“Kanak-kanak perlu menikmati sukan terlebih dahulu sebelum dijadikan atlet elit. Tetapi di Malaysia, ramai sudah dimasukkan ke dalam latihan serius seawal usia tujuh atau lapan tahun.
“Bila terlalu awal diberikan tekanan, mereka hilang minat sebelum sempat mencapai potensi penuh,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial