EKONOMI

Pulau Pinang Sertai Ekspo Dunia 2025, Chow Ketuai Delegasi Ke Jepun

21/09/2025 01:22 PM

GEORGE TOWN, 21 Sept (Bernama) -- Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengetuai delegasi agensi negeri utama ke Osaka, Kansai, Jepun bermula hari ini hingga 27 September untuk menganjurkan ‘Minggu Pulau Pinang’ di Pavilion Malaysia sempena Ekspo Dunia 2025.

Menurut Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini, pameran itu akan mengetengahkan peluang pelaburan di Pulau Pinang, meraikan budaya dan warisannya yang pelbagai serta mengukuhkan reputasinya sebagai destinasi dinamik dan berpandangan jauh di pentas global.

“Sebagai antara ekspo antarabangsa yang paling berprestij, Ekspo Dunia 2025 menawarkan platform yang unik dan strategik kepada Pulau Pinang untuk mengetengahkan kekuatan ekonominya, industri berasaskan inovasi dan inisiatif pembangunan mampan kepada khalayak antarabangsa.

“Negeri ini akan mempamerkan kelebihan daya saingnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, teknologi hijau dan teknologi perubatan selain menggariskan kemajuannya dalam pertumbuhan bandar yang mampan, memelihara warisan dan pembangunan pelancongan,” katanya.

Di luar ekspo itu, Ketua Menteri turut dijadualkan menyertai forum perniagaan, sesi rangkaian pelaburan dan dialog kerajaan dengan kerajaan bersama pihak berkepentingan yang berpengaruh di Jepun.

Chow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi dan Tanah dan Komunikasi menyatakan keyakinan bahawa penyertaan Pulau Pinang dalam ekspo itu bukan sahaja akan meningkatkan kedudukan negeri pada peringkat global, malah memberikan manfaat berterusan kepada rakyat Pulau Pinang dengan meraih peluang ekonomi baharu, menggalakkan pertukaran budaya dan memperkukuh kerjasama global.

“Penyertaan Pulau Pinang sejajar dengan visi jangka panjang negeri untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi, menggalakkan kerjasama antarabangsa yang bermakna dan mengukuhkan jenama globalnya sebagai hab pilihan untuk perniagaan, inovasi, pelancongan dan budaya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan