SUKAN

Tang Jie-Ee Wei Naib Juara Masters China

21/09/2025 06:03 PM

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Juara dunia beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei gagal meraih gelaran Masters China 2025 selepas tewas kepada gandingan Thailand Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran pada perlawanan akhir hari ini. 

Pada perlawanan di Shenzhen Arena, beregu campuran utama negara tewas 8-21, 17-21 dalam tempoh hanya 35 minit. 

Ia merupakan kekalahan ketiga Tang Jie-Ee Wei dalam empat pertemuan menentang pasangan Thailand itu dan juga penampilan pertama mereka di final kejohanan Super 750, dengan pencapaian naib juara di Shenzhen.

Ee Wei berkata tiada alasan untuk kekalahan itu sebaliknya mengakui taktik mereka tidak menjadi. 

“Jika hendak dikatakan disebabkan cedera, sakit belakang akibat perlawanan sebelum ini, itu bukan alasan. Apabila kami masuk gelanggang, kami ketepikan semua itu. Jadi, saya rasa teknik kami tidak menjadi hari ini. Ya, itu punca utamanya,” katanya melalui rakaman audio oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF). 

Ee Wei menegaskan walaupun bergelar juara dunia, masih banyak perlu dipelajari mereka daripada pemain terkemuka lain. 

Sementara itu, Tang Jie berkata mereka lega dapat menamatkan perlawanan dengan baik. 

“Kami bersyukur dapat menamatkan (perlawanan) dengan baik dan sekarang kami perlu cuba untuk pulih secepat mungkin dan membuat persiapan untuk kejohanan akan datang,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan