KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Operasi Patuh Undang-Undang (OP PUU) yang memberi penekanan terhadap kesalahan kecil peraturan jalan raya diteruskan di ibu negara dengan 42,288 notis amaran dikeluarkan setakat semalam.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata notis itu dikeluarkan kepada 2,206 pejalan kaki, penunggang motosikal (19,672), pemandu kereta (18,058), pemandu teksi (955), pemandu van (821) dan pemandu lori (576).
Kesalahan tertinggi direkodkan ialah halangan lalu lintas melibatkan kesalahan meletakkan kenderaan bukan di tempat sepatutnya iaitu 18,169 notis iaitu hampir separuh daripada notis dikeluarkan.
“Notis turut dikeluarkan bagi kesalahan mengabaikan isyarat lalu lintas dengan 9,897 notis, tidak ikut lintasan pejalan kaki (4,186), berhenti di petak kuning (2,328), berhenti melebihi garisan putih (1,758), tidak memakai topi keledar (1,633) dan tidak memakai tali pinggang keledar (259).
“Notis juga diberikan untuk kesalahan berkaitan nombor plat iaitu nombor plat kotor, kabur dan fancy dengan 1,843 notis, nombor plat tidak mengikut peraturan (1,343) selain ubah suai motosikal (872),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan fasa advokasi OP PUU yang bermula 6 Sept akan diteruskan sehingga diumumkan kelak dengan tindakan saman serta-merta akan dikenakan terhadap pesalah lalu lintas selepas itu.
Selain Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, operasi dibantu Jabatan Pengangkutan Jalan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Alam Sekitar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial