KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Pelumba berbasikal lebuh raya kebangsaan Mohd Shahrul Mat Amin bakal kembali ke pentas Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun ini selepas kali terakhir beraksi pada 2018.
Lebih istimewa, Mohd Shahrul yang bakal membuat penampilan kelapan di LTdL turut diberi mandat sebagai ketua pasukan skuad kebangsaan untuk membimbing barisan enam pelumba yang menggabungkan pengalaman senior dengan semangat atlet muda.
Juara kebangsaan dua kali itu menyifatkan pengalaman luasnya menjadi bekalan utama dalam mengemudi pasukan menghadapi cabaran lapan peringkat perlumbaan sejauh 1,244.2 kilometer (km) yang dijadual berlangsung dari 28 Sept hingga 5 Okt ini.
“Bagi saya, dalam perlumbaan jelajah kita akan lihat dulu bagaimana peringkat pertama berlangsung sebelum membaca rentak keseluruhan. Dari situ barulah kita tahu kemampuan pasukan lain dan peluang untuk cuba menawan peringkat ketiga atau kelima (fokus pasukan).
“Paling penting kedudukan ketika melakukan serangan atau mula mendaki, ia perlukan pengalaman. Saya lihat pelumba muda kita kali ini ada potensi, insya-Allah kita boleh lakukan yang terbaik,” katanya pada sidang media Pengumuman Skuad Lebuh Raya Kebangsaan ke LTdL 2025 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini, hari ini.
Mengulas mengenai kepulangannya ke pentas LTdL, bekas pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) berusia 36 tahun itu mengakui semangatnya terhadap sukan berbasikal tidak pernah pudar meskipun tidak terpilih sejak 2019 dan berdepan cabaran ketika pandemik COVID-19.
“Karier berbasikal ini sudah sebati dengan saya. Selepas 2018 ramai pelumba lain bersaing dan saya tidak terpilih, kemudian datang musim COVID-19 yang menyukarkan lagi keadaan. Dari situ saya terus pasang azam untuk kembali kayuh di LTdL.
“Selepas keluar dari TSG saya tetap teruskan kayuhan. Kali ini saya lebih bersedia ditambah dengan sokongan penaja termasuk menyediakan basikal terbaik untuk saya. Jadi saya hubungi jurulatih dan nyatakan hasrat untuk sertai pasukan, bukan kerana nama tetapi melalui proses dari awal,” katanya.
Beliau turut menjadikan pengalamannya selama 13 tahun bersama TSG sebagai panduan untuk mengekalkan kecergasan dan kembali bersaing di arena utama.
Selain Mohd Shahrul, lima lagi pelumba skuad kebangsaan ialah Muhammad Elmi Jumari, Muhammad Ameer Ahmad Kamal, Kee Zhe Yie, Muhammad Iqmal Mohd Zarawi dan Muhammad Yusri Shaari.
Sebagai antara perlumbaan paling berprestij di Asia, LTdL25 yang berstatus 2.ProSeries dalam kalendar Jelajah Asia UCI, menarik penyertaan 22 pasukan dari seluruh dunia.
LTdL25 akan melewati semua 12 negeri di Semenanjung, bermula di Pulau Langkawi pada 28 Sept dan berakhir di KLCC pada 5 Okt.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial