PUTRAJAYA, 22 Sept (Bernama) --- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah bersama Transparency International - Malaysia (TI-M), United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) dan Society for Equality, Respect and Trust for All (SERATA) telah bekerjasama menjayakan Program “Belia Menentang Rasuah: Bengkel Integriti & Akauntabiliti” dan “Bengkel Antirasuah –Menerajui Integriti Perniagaan”.
Ahli Jawatankuasa Exco TI-M, Balbeer Singh berkata, belia adalah masa hadapan negara yang menentukan kemajuan dan kemakmuran negara serta diharap secara tidak langsung menyokong usaha-usaha memerangi rasuah.
Beliau berkata, TI-M sebelum ini telah mengadakan forum mengenai pemilikan benefisiari dan pengisytiharan aset manakala program ini diadakan berdasarkan maklum balas diterima daripada peserta serta komuniti Perniagaan Kecil dan Sederhana mengenai cabaran mereka membuat laporan atau aktiviti berkaitan pencegahan rasuah di Sabah.
“Industri kecil dan sederhana memacu kemajuan negara serta mengiktiraf sumbangan mereka dalam menjadikan Malaysia negara yang maju. Melalui program ini, mereka akan dapat menjalankan perniagaan secara berintegriti dan tidak mengamalkan rasuah dalam mendapatkan tender atau keuntungan,” katanya pada sesi program dua hari yang diadakan pada 19 September lalu di City Hall, LA Hotel, Tawau, Sabah.
Seramai 31 peserta hadir pada hari pertama program yang mensasarkan penyertaan belia daripada Gabungan Persatuan Belia Tawau, GIAT MARA Cawangan Tawau dan Politeknik Cawangan Tawau manakala pada hari kedua, seramai 41 peserta Industri Kecil Sederhana (IKS) daripada Gabungan Persatuan-persatuan Kelapa Sawit Tawau dan Gabungan Persatuan Peniaga Majlis Perbandaran Tawau.
Sementara itu, Pegawai Program Nasional UNODC, Vickram Ragunath turut hadir menjayakan program yang diadakan bertujuan memberi pendedahan, penerangan dan kefahaman kepada masyarakat di Sabah tentang kepentingan melaporkan rasuah melalui saluran yang tepat.
Projek ini juga selaras dengan pembentukan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) yang dipandu oleh “NACS: Panduan Praktikal untuk Pembangunan dan Pelaksanaan” oleh UNODC.
Dalam pada itu, Ketua Cawangan Pendakwaan, SPRM Sabah, PsK Dzulkarnain Rousan Hasbi turut berkongsi ilmu berkaitan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) dan berharap agar lebih ramai masyarakat tampil ke hadapan untuk memberikan maklumat kepada agensi penguatkuasaan.
Program turut diisi dengan aktiviti-aktiviti interaktif dikelolakan oleh SPRM Sabah, TI-M, UNODC dan SERATA manakala SPRM Cawangan Tawau turut mengadakan pameran antirasuah agar peserta dapat memahami peranan SPRM lebih mendalam sebagai agensi tunggal membasmi rasuah di negara ini.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial