KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menyambut baik nasihat serta pandangan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berhubung isu tadbir urus insentif atlet para negara, khususnya membabitkan jaguh badminton Cheah Liek Hou.
Dalam kenyataan hari ini, MPM memaklumkan Presiden Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin juga telah berhubung secara langsung dengan Azam bagi memberikan penjelasan lanjut mengenai isu tersebut.
“Presiden MPM menegaskan bahawa MPM akan terus berpegang teguh kepada Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang telah ditandatangani bersama 23 Persatuan Sukan Para Kebangsaan pada 25 November 2021,” menurut kenyataan itu.
Azam, ketika menyampaikan ucapan penutup pada Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4 2025 di Sepang, Jumaat lepas, berpandangan kelemahan tatakelola dan ketidaktelusan menjadi punca polemik isu membabitkan Liek Hou.
Beliau berkata kelemahan dari segi penyampaian maklumat dan pelaksanaan dasar boleh menimbulkan salah faham serta kekecewaan, khususnya dalam kalangan penerima manfaat.
Liek Hou baru-baru ini mendakwa MPM gagal melunaskankan insentif wang tunai RM60,000 yang dijanjikan selepas memenangi pingat emas dalam Sukan Paralimpik 2024 di Paris, dan menzahirkan kekecewaan itu menerusi media sosial.
Menurut laporan media, Megat D Shahriman pada tahun lepas memaklumkan ganjaran wang tunai berjumlah RM60,000 seorang menanti atlet yang berjaya membawa pulang pingat emas pada temasya berprestij itu, diberikan tiga syarikat luar bagi meningkatkan motivasi atlet negara memburu emas di Paris.
Namun, isu kelewatan pembayaran itu membawa kepada pertikaian terbuka sehingga MPM pada Khamis lepas, mempertimbangkan tindakan undang-undang dan penggantungan terhadap atlet berkenaan.
Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh pada Ahad mengesahkan tiada penggantungan dikenakan kerana tuntutan Liek Hou bukanlah pelanggaran disiplin, sebaliknya berkaitan janji penajaan yang masih belum selesai.
Dalam pada itu, MPM dalam kenyataan sama turut berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan atas perkongsian ‘template’ penajaan oleh Road To Gold (RTG), yang kini akan dijadikan rujukan tambahan bagi memastikan ganjaran dijanjikan penaja didokumenkan secara rasmi.
“MPM menguruskan obligasi kontrak mengikut prosedur, namun dalam proses mengumpulkan penajaan atau ganjaran, ada kalanya berlaku perkara di luar jangka seperti penarikan penajaan.
“Dalam keadaan sebegini, MPM akan memaklumkan sebarang perubahan kepada semua pihak berkepentingan dengan penuh ketelusan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial