SHAH ALAM, 23 Sept (Bernama) -- Kerajaan negeri hari ini melancarkan Pelan Tindakan Strategi Ekonomi Kreatif Selangor sebagai garis panduan dan transformasi pemain industri meliputi cabang seni, budaya dan digital dengan menyasarkan pulangan berjumlah RM20 bilion menjelang 2035.
Pelan tindakan ini dijangka dibentang semasa sidang Dewan Undangan Negeri pada November ini.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi berkata sektor ekonomi kreatif perlu diberi perhatian kerana mempunyai potensi besar apabila berjaya menyumbang RM20 bilion kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM2 bilion adalah daripada pemain industri kreatif di Selangor.
"Mungkin angka berkenaan tidak terlalu besar namun sekurang-kurangnya, negeri ini berjaya menyumbang kepada pertumbuhan KDNK di peringkat nasional.
"Sektor ini bukan lagi hanya tentang seni dan budaya tetapi mengenai penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, pemacu ekonomi, pengukuhan pelancongan serta membina identiti global untuk Selangor," katanya semasa sesi libat urus sempena Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 di Pusat Konvensyen MBSA hari ini.
Mohd Najwan berkata pelancaran pelan tindakan itu juga dilakukan bagi menyahut seruan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berhubung pembangunan sektor ekonomi kreatif di Selangor seperti dibentang dalam belanjawan negeri tahun lepas.
Pada masa sama, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Ekonomi Kreatif Selangor itu berkata kerajaan negeri merangka pelbagai inisiatif bagi memastikan Selangor menjadi trend-setter dan berjaya menjadikan sektor ekonomi kreatif disebut di dalam Rancangan Malaysia Ke-13.
"Bagi merealisasikannya, enam pemangkin utama telah dikenal pasti iaitu pembangunan bakat, pemerkasaan digital, akses pembiayaan, infrastruktur, akses pasaran dan tatakelola yang mantap menerusi tiga strategi utama dan dimulakan dengan Pertumbuhan Ekonomi Mampan untuk memupuk inovasi, keusahawanan serta peluang eksport.
"Strategi seterusnya ialah Penyertaan Inklusif bagi memperkukuh bakat tempatan dan memperluas akses kepada platform kreatif serta Pemeliharaan Warisan Budaya bagi memartabat identiti unik Selangor menerusi pemuliharaan, pelancongan dan penglibatan awam," katanya.
Terdahulu, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan hadir dan merasmikan ekspo itu yang dijadualkan berlangsung dua hari bermula hari ini.
Acara itu mengandungi pelbagai pengisian antaranya sesi libat urus, forum, bengkel, pameran, CRE8Biz Xchange (platform pemadanan perniagaan), CRE8Fund (Dana Mikro Kreatif Selangor), CRE8Stage dan pemeteraian memorandum.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial