Seawal 7 pagi, aroma enak sudah mula menyelubungi persekitaran sebuah rumah di Jalan Kangkong, Alor Setar, Kedah dengan susuk lima individu sibuk mempersiap bahan-bahan masakan di dapur.
Di dalam sebuah periuk besar, nasi sedang ditanak, sementara di dalam periuk lain pula bau kari semerbak memenuhi ruang. Di bahagian depan, semua kerusi dan meja sudah dilap bersih.
Di satu sudut, kelihatan deretan baldi plastik sarat dengan ulam-ulaman yang direndam di dalam air bercampur ais bagi mengekalkan kesegaran. Semuanya sudah hampir siap untuk menyambut ketibaan “pelanggan” yang datang bagi menikmati hidangan tengah hari.
Sepintas lalu suasana di premis ini sama seperti kedai-kedai makan lain, cuma di sini pelanggan datang makan secara percuma. Dikenali sebagai Rumah Makan Percuma (RMP), premis ini beroperasi sejak lima tahun lalu, menyediakan hidangan yang setanding makanan berbayar kepada semua ahli masyarakat atas konsep wakaf.
LAYANAN MACAM BERBAYAR
Pengasas RMP Mazlina Kamarudin, 58, berkata sekalipun hidangan yang disediakan percuma, beliau menekankan kepada lima staf tetap premis agar “masaklah dari hati yang ikhlas”.
“Walaupun percuma, layanan mesti macam pelanggan berbayar,” ujarnya kepada Bernama.
pic-2
Menurutnya, selain itu, menu juga bertukar setiap hari merangkumi nasi putih, lauk ayam yang dimasak pelbagai cara, sayur-sayuran dan ulam-ulaman lengkap dengan minuman, dan adakala muncul kuih-muih sumbangan orang ramai.
“Sesiapa sahaja boleh datang makan, tidak ada beza kaum dan agama. Syaratnya cuma satu, tidak boleh dibungkus sebaliknya semua kena makan di sini. Kami nak semua orang duduk semeja dan berborak, barulah rasa macam keraian,” katanya.
Menurutnya, di peringkat awal RMP menerima sekitar 250 orang saban hari, namun angka itu meningkat dengan cepat dan kini mencecah 600 orang sehari.
“Kami buka setiap hari kecuali Sabtu bagi memberi ruang untuk staf berehat. Pada Ramadan pula kami agih makanan siap bungkus sebagai juadah berbuka,” jelasnya.
RAHMAT KEPADA YANG MEMERLUKAN
Kebanyakan yang datang ke RMP ialah pengunjung tetap, antaranya Izan Iskandar, 45, seorang juruelektrik yang bekerja sendiri. Dia singgah makan di situ hampir lima kali seminggu, kerana selain mengisi perut lelaki ini juga sukakan suasananya.
“Suasana di sini memang meriah. Saya pula dah kenal semua staf lama yang memang setia dengan RMP dari awal. Bila masuk waktu rehat tengah hari, pekerja kilang, pasar raya, semua datang. Kami beratur lima ke 10 minit, lepas tu duduk semeja dengan pengunjung lain. Ada Melayu, Cina, India, semua makan satu meja. Inilah semangat muhibah yang Malaysia perlukan,” katanya sambil tersenyum.
pic-3
Hidup Izan tidak mudah. Sekalipun belum berkahwin, dia bertanggungjawab menjaga dua orang adik dengan pendapatan bulanan tidak seberapa. Ditambah pula dengan kos sara hidup semakin meningkat. Justeru, kewujudan RMP bagi lelaki ini ibarat kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan.
Menyifatkan RMP sebagai bukti keprihatinan masyarakat, Izan berkata setiap kali dia datang pasti terlihat orang luar tampil menyumbang beras dan bahan mentah lain.
“Sekarang kos makan pun mahal. Jadi bila ada orang baik hati salurkan barang, RMP boleh terus hidup. (Kewujudan RMP) memang banyak membantu orang susah macam saya dan rakan-rakan yang lain,” katanya penuh syukur.
DARIPADA AYAM BISMI KE RMP
Mazlina dan suaminya, Jafri Ahmad, 61, bukanlah nama asing di utara tanah air. Mereka ialah tulang belakang Bismi Empire Sdn Bhd (Ayam Bismi), sebuah syarikat ternakan dan pemprosesan ayam yang ditubuhkan pada 1988. Jafri memulakan perniagaan itu sejurus tamat pengajian di Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara) ketika dunia sedang menghadapi kemelesetan ekonomi.
Pada mulanya syarikat beliau hanya menjual ayam segar, namun selepas dua bulan berniaga rakan kongsinya menarik diri. Namun Jafri tidak patah semangat. Dua tahun kemudian, beliau mendirikan rumah tangga dengan Mazlina dan mereka berganding bahu membangunkan bisnes tersebut.
pic-4
Hari ini Ayam Bismi memiliki ladang ternakan dengan kapasiti 2.14 juta ekor dan saban bulan mengeluarkan hampir sejuta ekor ayam siap diproses.
Operasinya disokong oleh doktor veterinar, ahli mikrobiologi, pegawai teknikal ladang serta makmal kawalan makanan dan kesihatan ayam. Produk mereka meliputi ayam segar untuk pasaran Kedah dan Perlis, sementara ayam segar beku dihantar ke seluruh Malaysia, menjadikan Ayam Bismi sebagai satu-satunya syarikat bumiputera yang mempunyai rangkaian kilang bersepadu terbesar di Kedah
Kejayaan itu jugalah yang membolehkan mereka membuka RMP. Sekitar 60 peratus kos operasi RMP ditanggung Ayam Bismi, selebihnya daripada poket mereka sendiri serta sumbangan berbentuk barangan daripada masyarakat.
“Kalau Ayam Bismi untung, insya-Allah RMP pun boleh terus berjalan. Kami tak mahu hanya kaya sendiri, kami nak orang lain pun merasa,” ujar Mazlina ringkas.
TIADA TABUNG, KOD QR
RMP lahir daripada dua prinsip utama, iaitu rasa syukur atas rezeki yang Allah kurniakan serta kesedaran bahawa kelaparan boleh menyukarkan manusia beribadah dan berfikir dengan baik.
“Kami sendiri berasal daripada keluarga susah. Ayah saya pesawah, ayah suami pula pemandu bas. Jadi kami faham benar peritnya hidup, bak pepatah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” cerita Mazlina. Matanya berkaca.
Mereka memilih menyediakan makanan percuma berbanding bantuan wang atau barang dapur, kerana kata mereka masalah sebenar kadangkala bukan kerana ketiadaan duit, tetapi kesunyian dan ketidakmampuan memasak atau makan seorang diri.
Malah kata Mazlina, sejak hari pertama ditubuhkan, RMP menolak sumbangan tunai. Tiada tabung di kaunter, tiada kod QR serta tiada kutipan derma.
“Kalau ada tabung, orang kaya boleh bagi seratus ringgit, tapi orang susah nak hulur seringgit pun rasa segan. Kami tak mahu orang rasa rendah diri,” tegasnya lagi, dan menambah RMP bagaimanapun mengalu-alukan sumbangan berbentuk barangan seperti beras, gula, minyak dan rempah ratus.
Ada juga penyumbang yang membayar terus kepada pembekal tempatan, sekali gus menjadikan pengurusan audit lebih telus dan mengelakkan sebarang keraguan kewangan.
“Bila kita jaga niat dan cara, insya-Allah, Allah permudahkan. Sejak premis ini dibuka pada 2020, tak pernah lagi kami tak cukup dana,” katanya.
CABARAN DI SEBALIK KEJAYAAN
Di sebalik kejayaan hari ini, Mazlina mengakui di peringkat awal pembukaan mereka risau sekiranya RMP tidak mendapat sambutan.
“Hari pertama kami masak untuk 200 orang, siap bagi nombor giliran. Memang berdebar, tapi alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” kongsinya sambil tersenyum mengingati detik itu.
pic-5
Lima tahun beroperasi, RMP telah berkongsi rezeki dengan lebih ratusan ribu pengunjung daripada pelbagai latar belakang dan keturunan.
Menurut Mazlina, bagi memastikan operasi RMP lancar, mereka sekeluarga juga hidup secara sederhana agar lebih banyak keuntungan daripada Ayam Bismi dapat disalurkan kepada rumah makan percuma itu.
“Kami tak pernah beli kereta mewah atau aset mahal yang membazir. Duit keuntungan syarikat kami salurkan semula untuk projek macam RMP. Itulah cara kami kawal kewangan,” jelasnya.
Pada masa sama, Mazlina turut meluahkan kegusaran peningkatan kos bahan mentah akan menjejaskan usaha mereka untuk membantu seramai mungkin pengunjung.
“Konsep makan di premis ini membantu kami mengawal jumlah pengunjung dan mengelakkan pembaziran. Namun tidak dapat dinafikan, dengan kos yang semakin meningkat dan jumlah pengunjung bertambah, membuatkan usaha kami agak terbatas. Kami cuma dapat sediakan setakat mampu,” ujarnya lagi.
PELBAGAI KISAH MENYENTUH HATI
Gembira dapat membantu, namun yang benar-benar berbekas di hati pasangan ini ialah kisah-kisah manusia di meja makan mereka. Ada warga emas yang datang setiap hari kerana tidak mampu lagi memasak. Ada keluarga yang kehilangan tempat tinggal, tetapi anak-anak mereka tetap dapat makan dengan penuh kasih di RMP.
Cerita yang paling menyentuh hati Mazlina antaranya ialah kisah seorang suami yang tabah menjaga isterinya. Selain kaki dipotong, si isteri juga perlu menjalani dialisis. Sejak RMP dibuka, mereka menjadi pelanggan setia saban hari sehinggalah si isteri menghembuskan nafas terakhir tahun lalu.
“Setiap kali saya turun (ke RMP), ramai tadah tangan doakan saya dan suami. Ada yang sebut nama kami dalam doa mereka. Itu cukup membuatkan saya sebak,” kata Mazlina. Suaranya bergetar.
Ketika ditanya tentang harapan, Mazlina tersenyum. “Selagi Ayam Bismi beroperasi, selagi ada rezeki lebih, kami nak RMP terus hidup. Kalau ada peluang buka cawangan kedua di tempat lain yang lebih memerlukan, insya-Allah kami cuba.”
Walaupun ada badan bukan kerajaan menawarkan kerjasama, pasangan suami isteri ini memilih untuk mengekalkan pengurusan secara bersendirian.
"Selain lima staf tetap, kami ada seorang ‘uncle’ Cina berusia 70 tahun yang datang setiap hari, setia membantu menyusun meja dan kerusi. Itupun sudah cukup jadi simbol perpaduan,” kata wanita berjiwa besi itu.
Lebih unik, setiap kali bulan Ogos dan September tiba, suasana di RMP bertambah meriah. Selain nasi dan lauk ayam, pengunjung diraikan dengan air minuman istimewa serta bendera kecil Jalur Gemilang. Ruang makan sederhana itu berubah menjadi pesta muhibah.
Di meja makan RMP, warga emas, pekerja kilang, keluarga muda, jiran berbilang kaum, semuanya dapat duduk bersama-sama menikmati rezeki tanpa syak wasangka.
“Bagi saya, jangan asyik tanya apa negara boleh bagi kita, tapi tanyalah apa kita boleh buat untuk negara,” kata Mazlina yang berharap lebih banyak syarikat korporat tampil dengan inisiatif serupa dan membantu rakyat biasa dalam mendepani peningkatan kos sara hidup.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial