AM

Sultan Nazrin Berkenan Rasmi Perak AgroFest 2025 Di Sungai Siput

27/09/2025 05:58 PM

SUNGAI SIPUT, 27 Sept (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan berangkat merasmikan Perak AgroFest 2025 di Ladang Infoternak di sini hari ini. 

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim. 

Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubin.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan anugerah kepada 15 pemenang sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Perak 2025.

Saarani dalam sembah ucapannya berkata kerajaan negeri melalui Pelan Perak Sejahtera 2030 telah menggariskan inisiatif antaranya memperluas program keterjaminan makanan melalui pengukuhan rantaian bekalan agro, memodenkan sektor tani dengan teknologi pintar serta memperkasakan belia tani melalui pengukuhan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Usaha turut dizahirkan antara lain melalui inisiatif Bawang Perak, yang kini diperluas dan semakin mendapat tempat di pasaran sebagai lambang kejayaan usaha meningkatkan kualiti serta produktiviti hasil tani tempatan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri turut merintis usaha penanaman kopi Perak sebagai komoditi baharu bernilai tinggi, yang bukan sahaja berpotensi menjadi sumber ekonomi baharu, malah mampu mengangkat nama negeri di persada antarabangsa. 

Kedua-dua inisiatif berkenaan, katanya menjadi bukti bahawa Perak tidak hanya mempertahankan tradisi pertanian, tetapi juga berani meneroka demi kelangsungan rezeki rakyat selaras aspirasi memperkukuh agenda keterjaminan makanan.

Saarani berkata agenda keterjaminan makanan negeri diperkukuh dengan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Ekonomi Biru Negeri Perak Darul Ridzuan yang telah dilancarkan pada Februari lepas yang menetapkan hala tuju pembangunan perikanan, pelabuhan, industri marin, agropelancongan serta pemuliharaan biodiversiti.

“Jelas Perak Agrofest menjadi medan memperkukuh jaringan petani, memperluas ekosistem pertanian, memacu agropelancongan, memperkenalkan TVET agro dan menyemarakkan teknologi pintar dalam sektor makanan negara,” katanya.

Perak Agrofest 2025 berlangsung selama tiga hari bermula semalam disertai lebih 60 jabatan dan agensi kerajaan dan swasta.

Pelbagai pengisian disusun antaranya Forum Perdana “Bumi Subur, Hati Makmur, Pertanian Satu Ibadah” serta laman pameran termasuk Laman Ekonomi Biru, pertanian, padi, nanas, Inovasi & Teknologi, Agro Madani, Veterinar bersama Zoo Taiping dan Laman Empayar Makanan yang menghimpunkan ratusan juadah daripada usahawan tempatan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan