KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Selepas anggota tentera dan polis yang menjadi golongan pertama menikmati subsidi petrol RON95 di bawah insiatif Budi MADANI RON95 (BUDI95) semalam, hari ini peluang sama turut dinikmati lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kategori B40.
Rata-rata penerima STR yang menikmati harga petrol itu pada RM1.99 seliter menzahirkan penghargaan dan berterima kasih atas keprihatinan kerajaan terhadap golongan B40 yang amat memerlukan.
Di PERAK, Ahmad Tasir Mohd Isa, 80, dari Pengkalan berkata inisiatif kerajaan itu dilihat mampu meringankan sebahagian perbelanjaan rakyat termasuk warga emas.
“Walaupun saya tidak menggunakan begitu banyak petrol setiap bulan, tetapi dengan penurunan harga minyak RON95 ini, memang ada kesannya terhadap perbelanjaan bulanan.
“Kaedah menebus subsidi ini juga tidak merumitkan kerana petugas stesen minyak sangat membantu saya mengenai cara-cara untuk menerima manfaat BUDI95,” kata pesara kerajaan itu ketika ditemui Bernama di sebuah stesen minyak di sini, hari ini.
Sementara itu, Azman Mohamed Yusof, 54, berkata beliau hanya perlu melengkapkan transaksi dengan menggunakan kad pengenalan di kaunter pembayaran.
“Caranya mudah, cepat dan tidak menyukarkan. Terima kasih kepada kerajaan kerana melaksanakan subsidi petrol ini untuk mereka yang benar-benar layak,” katanya yang bekerja sendiri.
Di KEDAH, Mohamad Din, 66, dari Sungai Petani yang kerap berulang-alik ke Alor Setar bagi urusan perniagaannya berkata pemberian BUDI95 amat membantu kerana sebelum ini kos penggunaan minyak mencecah lebih RM80 bagi perjalanan pergi dan balik.
“Pemberian BUDI95 ini memang bagus, sekarang RM1.99 jadi memang meringankan beban. Hari ini saya isi RM30 dahulu sebab nak mencuba cara penggunaannya,” katanya kepada Bernama di sebuah stesen minyak di sini, hari ini.
Seorang lagi penerima, Chan Boon Shiang, 61, dari Taman Ria, berkata beliau datang ke stesen minyak untuk menyemak sama ada boleh menggunakan BUDI95 dan bersyukur kerana antara penerima awal, manakala isterinya akan mula menikmati kemudahan itu pada 30 Sept ini.
Di MELAKA, Rohayu Abd Rashid, 38, yang bekerja sebagai operator pengeluaran, menyifatkan inisiatif BUDI95 sebagai langkah tepat oleh kerajaan bagi meringankan beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.
“Alhamdulillah, walaupun perbezaan harga kecil, penjimatan tetap terasa terutama bagi yang berulang alik ke tempat kerja setiap hari. Inisiatif ini dikhususkan kepada rakyat Malaysia sekali gus memastikan subsidi petrol sampai kepada golongan sasar yang layak,” katanya.
Di PAHANG, juruteknik sebuah hospital swasta di Kuantan, Muhamad Amir Asraf, 35, berkata beliau agak kekok membeli minyak menggunakan kad pengenalan kerana ini merupakan inisiatif baharu kerajaan.
“Namun, proses itu tidak sesukar yang disangka kerana hanya perlu ke kaunter dan menyerahkan kad pengenalan untuk membeli minyak bersubsidi pada harga RM1.99 seliter,” katanya yang menyifatkan BUDI95 dapat mengekang ketirisan minyak bersubsidi terutama di lokasi berhampiran sempadan negara.
Sementara itu di Pasir Mas, KELANTAN, Abdullah Kemat, 43, berkata langkah kerajaan menyalurkan subsidi petrol RON95 secara terus benar-benar memudahkan penduduk luar bandar yang perlu memandu jauh untuk bekerja atau berniaga.
“Tak perlu tunggu lama, sistem sahkan kelayakan sekelip mata. Kami terus boleh isi minyak dengan harga subsidi, sangat menjimatkan masa dan kos,” katanya ketika ditemui di stesen minyak Repek, Pasir Mas.
Siti Rohana Ismail, 47, pula menyifatkan BUDI95 sebagai “penyelamat dompet” kerana beliau berulang-alik dari Tumpat ke tempat kerja di Kota Bharu sejauh lebih 40 kilometer setiap hari.
“Setiap liter yang dijimatkan amat berharga. Setiap ringgit yang dapat disimpan sangat bermakna,” katanya.
Seorang lagi penerima, Roslan Mat Jusoh, 50, dari Pengkalan Chepa, berkata penjimatan petrol melalui BUDI95 membolehkan beliau menyalurkan lebihan wang untuk perbelanjaan dapur dan keperluan sekolah anak.
“Walaupun jumlahnya kecil, kesannya besar kepada keluarga kami. Saya harap program ini berterusan supaya rakyat marhaen terus mendapat manfaat,” katanya.
BUDI95 akan dilaksanakan sepenuhnya pada 30 Sept ini, melibatkan sebanyak 16 juta rakyat Malaysia yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan merujuk soalan lazim (FAQ) di portal rasmi BUDI95 di www.budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan 1-300-88-9595.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial