KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Great Eastern Takaful Bhd (GETB) menerusi skim mySalam hari ini mengumumkan inisiatif terbaharu Kahoot! Bijak Wang Challenge, satu percubaan untuk mencipta rekod dunia sebagai kuiz literasi kewangan terbesar di Malaysia.
Ketua mySalam Syuhaib Ithnin berkata pihaknya menyasarkan 10,000 peserta berusia 13 tahun dan ke atas akan mengambil bahagian dalam acara yang diadakan di Queensbay Mall, Pulau Pinang pada 14 hingga 16 Nov, bersempena dengan Karnival Celik Kewangan anjuran Financial Education Network (FEN) dan Bank Negara Malaysia.
“Kami percaya bahawa pendekatan menarik dalam memberi kesedaran pengurusan kewangan adalah penting dan melalui pendekatan gamifikasi ini, peserta akan diuji dalam pelbagai aspek kewangan seperti pengurusan risiko, perancangan kewangan dan perlindungan tambahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pada program berkenaan, sebanyak 300 bakul makanan bernilai RM12,000 akan disumbangkan kepada keluarga asnaf hasil kerjasama Malaysian Takaful Association dan mySalam.
“Sumbangan buku bernilai RM10,000 daripada Financial Services Libray, Bank Negara Malaysia turut disalurkan bagi memperkukuh budaya membaca dan celik kewangan dalam kalangan pelajar,” katanya.
Pengumuman inisiatif terbaharu itu dibuat semasa Karnival 3K di Sekolah Kebangsaan Bandar Pontian, yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar Johor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng Liang Tian Soon.
Karnival 3K yang memasuki edisi ketiga itu bertujuan mendekati komuniti B40, menampilkan pelbagai aktiviti termasuk Financial Squid Game, kesihatan percuma, jualan Rahmah, sesi celik kewangan untuk kanak-kanak, cabutan rezeki serta program berasaskan komuniti seperti pertandingan nyanyian, e-sukan dan perlawanan ragbi.
Sejak dilancarkan pada 2019 hingga 31 Ogos tahun ini, mySalam telah menyalurkan tuntutan berjumlah RM1.27 bilion kepada 1.77 juta penerima manfaat.
Tarikh akhir penghantaran tuntutan kelayakan bagi 2024 dilanjutkan hingga Disember 2025 bagi memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada skim itu.
Karnival 3K dianjurkan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Kewangan, Great Eastern Takaful, Malaysia Takaful Association, Financial Education Network (FEN), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), myKawan, PeKa B40, Pejabat Kesihatan Daerah Pontian dan Persatuan Ibu Bapa dan guru SK Bandar Pontian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial