AM

Manfaatkan Tahun Melawat Malaysia, Giatkan Promosi Pelancongan - Sultan Kelantan

29/09/2025 06:02 PM

KOTA BHARU, 29 Sept (Bernama) -- Kerajaan Kelantan perlu memanfaatkan Tahun Melawat Malaysia 2026 untuk mempromosikan produk pelancongan berpotensi tinggi merangkumi pelancongan bandar, kebudayaan, warisan sejarah, kesenian, gastronomi, pesisir pantai dan eko, agro serta geopelancongan, titah Sultan Kelantan Sultan Muhammmad V.

Baginda bertitah rakyat Kelantan yang terkenal dengan keramahan dan nilai hospitaliti tinggi berupaya melonjakkan pelancongan berasaskan komuniti (CBT) sebagai produk pelancongan masa depan negeri ini.

"Justeru, beta berharap CBT dapat diperkasakan melalui kerjasama erat antara masyarakat setempat, pihak berkuasa tempatan, kerajaan dan sektor swasta.

"Kejayaan industri pelancongan juga bergantung pada kreativiti serta nafas baharu yang mampu menarik kehadiran pelancong," titah baginda.

Selain itu, Sultan Muhammad V bertitah aspek kebersihan, keindahan landskap dan kemudahan awam perlu dipertingkatkan. 

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan, Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat Menyembah Ucapan Tahniah dan Taat Setia bersempena dengan Hari Keputeraan baginda yang ke-56 di Istana Balai Besar, di sini hari ini.

Titah baginda, peranan pihak berkuasa tempatan amat penting dalam memastikan kawasan pelancongan sentiasa terurus, bersih dan mesra pengunjung, sekali gus menyerlahkan citra negeri yang indah dan menarik di mata pelancong dalam dan luar negara.

Sementara itu, baginda menghargai usaha kerajaan negeri dalam memartabatkan generasi belia Kelantan sebagai nadi penggerak masa depan negeri dan negara. 

"Beta berharap agar ikhtiar ini diteruskan dengan menekankan pembangunan ekosistem anak muda yang merangkumi aspek kepimpinan, keusahawanan dan teknologi digital, di samping membendung gejala sosial termasuk penyalahgunaan dadah.

"Beta menyambut baik inisiatif kerajaan negeri yang menjadikan Kelantan sebagai negeri pertama yang menguatkuasakan larangan penjualan vape dan syisya sejak 2015," titah baginda.

Sultan Muhammad V menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada agensi penguat kuasa yang telah memberikan kerjasama dalam pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan