Sindiket penipuan atau scam termasuk penipuan siber, tidak hanya tertumpu pada masyarakat luar bandar yang mungkin kurang celik teknologi, sebaliknya golongan profesional juga ramai yang menjadi mangsa.
Semakin hebat teknologi digital, semakin pesat jenayah ini berkembang memburu mangsa tanpa mengambil kira usia, kerjaya, status atau tempat tinggal dengan si penjenayah memanfaatkan sepenuhnya kecanggihan teknologi bagi memperdaya mangsa.
Mengambil contoh laporan media tempatan sebelum ini, seorang ahli perniagaan di ibu kota mengalami kerugian hampir RM3 juta selepas terjerat dalam skim pelaburan mata wang kripto (sebenarnya tidak wujud), yang menjanjikan pulangan hingga 15 peratus sebulan.
Seterusnya, seorang doktor perubatan di Pulau Pinang turut tersenarai antara mangsa berprofil tinggi. Mangsa menerima tawaran kerja sambilan sebagai ejen jualan dalam talian yang hanya perlu memesan produk dan dijanjikan komisen lumayan.
Pada awalnya memperoleh pulangan kecil, dia akhirnya mengalami kerugian apabila modal mencecah RM180,000 yang “dilaburkan” bagi membuka “akaun premium” tidak dikembalikan.
Dua kes tersebut membuktikan status akademik atau sosial tidak menjamin seseorang untuk bebas atau terlepas daripada penipuan digital.
Bahkan, golongan pesara juga tidak terlepas daripada ancaman penipuan tersebut seperti yang menimpa seorang pesara kerajaan di Johor kehilangan lebih RM200,000 selepas diperdaya menerusi panggilan telefon kononnya pegawai bank dan pesara tentera yang rugi hampir RM150,000 akibat terjerat Macau Scam.
140 SCAM INDIVIDU SETAHUN
Laporan State of Scams in Malaysia 2025 oleh Global Anti-Scam Alliance (GASA) mendedahkan setiap rakyat Malaysia berdepan dengan purata 140 percubaan penipuan setahun dengan 85 peratus orang dewasa pernah terdedah kepada cubaan tersebut.
pic-2
Situasi ini bukan hanya membimbangkan bahkan boleh menjejaskan keyakinan terhadap keselamatan digital, ekonomi dan institusi yang diharap dapat melindungi pengguna termasuk kerajaan.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata penipuan kini telah berkembang menjadi krisis nasional berbanding dianggap hanya jenayah terpencil sebelum ini.
“Setiap tiga hari, rakyat Malaysia berdepan cubaan penipuan baharu tanpa mengenal usia atau latar belakang. Malah 21 peratus ibu bapa mengakui anak mereka yang berusia tujuh hingga 17 tahun pernah ditipu. Institusi keluarga kini menjadi medan baharu penjenayah siber.
“Laporan oleh GASA itu juga ada menyatakan scammer sememangnya menyasarkan mangsa daripada kelompok remaja dan kanak-kanak. Mereka menjadikan golongan itu sebagai ejen dalam sesebuah keluarga bagi mendapatkan maklumat tertentu seperti nombor kad bank ibu atau bapa mereka.
“MCCA pernah menerima aduan melibatkan kanak-kanak yang disuruh oleh scammer untuk meletakkan barang berharga di luar pintu rumah mereka. Kes seperti ini biasanya melibatkan ugutan terhadap kanak-kanak yang membabitkan unsur seksual sebagai contoh, kanak-kanak itu telah berkongsi gambar mereka dengan scammer dan takut jika perkara itu terbongkar, jadi mereka hanya menurut segala arahan yang diberikan penjenayah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Siraj berkata menurut laporan itu juga, kesan penipuan bukan sekadar melibatkan kerugian wang, sebaliknya sebanyak 62 peratus mangsa melaporkan tekanan emosi, manakala 47 peratus mengalami kesan terhadap kesejahteraan mental.
Tambahnya ada keluarga yang terpaksa berhutang selepas terjerat penipuan siber, di samping ada juga yang terpaksa membuat pinjaman bank bagi menampung kerugian.
“Penjenayah semakin licik menggunakan platform komunikasi peribadi seperti WhatsApp, Telegram dan WeChat yang kini menjadi saluran utama memperdaya mangsa.
“Walaupun 74 peratus orang dewasa yakin mereka mampu mengenal pasti penipuan, angka mangsa terus meningkat. Ini menunjukkan scammer jauh lebih pantas beradaptasi dengan sistem perlindungan sedia ada,” katanya.
Data GASA antara lain menunjukkan hampir 64 peratus mangsa membuat laporan kepada perkhidmatan pembayaran akibat penipuan, tetapi hanya 13 peratus berjaya mendapatkan semula sekurang-kurangnya sebahagian wang mereka.
UNDANG-UNDANG TEGAS
Malaysia menubuhkan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) pada 2022 sebagai langkah proaktif menangani peningkatan kes penipuan dalam talian.
pic-3
Namun, cabaran besar yang masih wujud menuntut lebih banyak ruang penambahbaikan melalui strategi bersepadu, selain Malaysia disaran mencontohi pendekatan negara lain yang berjaya mengurangkan impak ancaman itu.
Mengambil contoh pendekatan Singapura, Siraj berkata kerajaan negara itu menggubal Online Criminal Harms Act 2023 (OCHA) yang membolehkan pihak berkuasa mengarahkan penyedia platform seperti WhatsApp, Telegram atau Facebook menurunkan kandungan penipuan dengan kadar segera.
“Undang-undang itu juga memberi kuasa untuk menyekat laman web serta nombor telefon yang dikenal pasti digunakan oleh scammer.
“Langkah ini dikaitkan dengan kejayaan negara itu menurunkan jumlah kerugian akibat penipuan daripada SG$660 juta pada 2022 kepada SG$651 juta pada 2023, meskipun jumlah kes masih tinggi,” katanya.
Tambahnya, di United Kingdom (UK), penguatkuasaan turut diperkukuh menerusi Online Safety Act 2023 yang mewajibkan platform digital menghapuskan iklan penipuan berbayar serta menyaring kandungan palsu.
Katanya undang-undang itu memberi kuasa kepada Ofcom (badan pengawal selia komunikasi UK), untuk mengenakan penalti besar hingga 10 peratus daripada pendapatan global syarikat teknologi yang gagal melindungi pengguna.
“Di Australia, penubuhan National Anti-Scam Centre (NASC) pada 2023 menyelaras maklumat antara bank, syarikat telekomunikasi dan agensi penguat kuasa. NASC beroperasi secara masa nyata dengan mengesan trend penipuan baharu, kemudian menyalurkan amaran kepada pengguna dan institusi kewangan untuk memintas transaksi mencurigakan.
“Sementara itu, Amerika Syarikat memanfaatkan undang-undang menerusi Federal Trade Commission (FTC) dan Department of Justice (DOJ). Mereka mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat teknologi yang didapati cuai, termasuk mengenakan saman hingga berjuta-juta dolar ke atas syarikat yang gagal melindungi data pengguna atau membiarkan iklan palsu tersebar,” katanya.
PENDIDIKAN LITERASI DIGITAL
Berkongsi pandangan, Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi yang juga penyelidik Advanced Communication Research Unit (ACRU) Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Mohd Khairie Ahmad melihat perkara itu sebagai cabaran besar dalam aspek literasi digital rakyat Malaysia.
pic-4
“Penipuan hari ini bukan lagi berbentuk seperti e-mel palsu semata-mata sebaliknya hadir dalam bentuk iklan pelaburan, tawaran kerja, malah akaun media sosial yang kelihatan sahih.
“Pelaburan palsu kekal sebagai bentuk penipuan paling dominan. Laporan oleh GASA menyatakan generasi muda tidak terkecuali, walaupun dianggap lebih celik teknologi. Golongan millennial merekodkan kadar kerugian purata tertinggi iaitu RM7,792 setahun, jauh mengatasi Gen Z yang kehilangan sekitar RM1,253.
“Laporan itu turut mendedahkan hanya 14 peratus Gen X dan 12 peratus individu berpendidikan sederhana yakin dapat mengenal pasti penipuan. Walaupun kumpulan berpendidikan tinggi dan tinggal di bandar lebih yakin, mereka juga lebih kerap menjadi mangsa,” katanya.
Menurut Mohd Khairie, paradoks ini menunjukkan pendekatan baharu apabila pendidikan literasi digital harus bermula di peringkat sekolah dengan disertai modul literasi kewangan dan pengesanan penipuan.
“Institusi pengajian tinggi pula perlu mengintegrasi kursus keselamatan digital dalam sukatan pelajaran program, di samping masyarakat awam mesti dilibatkan melalui kempen nasional berterusan, bukan sekadar program bermusim.
“Jika rakyat sudah ambil langkah semakan kendiri sebelum mempercayai tawaran, seterusnya kita perlu didik mereka strategi semakan yang lebih berkesan. Misalnya, gunakan aplikasi pengesahan nombor, semak rekod syarikat atau rujuk pangkalan data rasmi,” katanya.
Menambah perkara yang lebih besar ialah penipuan hari ini bukan sahaja menjerat mangsa individu tetapi boleh menghakis keyakinan masyarakat terhadap sistem kewangan, teknologi digital dan kerajaan, beliau berkata perkongsian data ancaman secara masa nyata membolehkan kita ‘mendahului’ penjenayah.
“Jika gagal dikawal, perkara ini akan menjadi penghalang besar kepada agenda pendigitalan negara.
“Dasar sahaja tidak mencukupi tanpa kolaborasi rentas sektor. Kita perlukan ekosistem dan usaha bersepadu antara kerajaan, syarikat telekomunikasi, platform digital, institusi kewangan dan kesedaran masyarakat secara keseluruhannya,” katanya menambah undang-undang dan penguatkuasaan tegas perlu diperkukuh.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial