EKONOMI

Pendedahan Hutang, Liabiliti Kerajaan Pada 84.1 Peratus Akhir Jun 2025- MOF

10/10/2025 04:36 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Pendedahan hutang dan liabiliti kerajaan berjumlah RM1.69 trilion atau 84.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga akhir Jun 2025 berbanding RM1.63 trilion atau 84.5 peratus pada akhir Disember 2024, kata Kementerian Kewangan hari ini.

Menurut Kementerian Kewangan dalam Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2026 yang dikeluarkan hari ini, hutang dan liabiliti kerajaan terdiri daripada hutang Kerajaan Persekutuan, komitmen jaminan, obligasi kewangan daripada projek kerjasama awam-swasta dan inisiatif pembiayaan awam-swasta.

Kementerian itu berkata jaminan kewangan yang dicatatkan sehingga akhir Jun 2025 berjumlah RM424.7 juta atau 21.1 peratus daripada KDNK, kekal di bawah had 25 peratus seperti yang diperuntukkan di bawah Jadual Pertama Akta 850.

Sementara itu, jaminan di bawah Akta Jaminan Pinjaman 1963 (Pertubuhan Perbadanan) meningkat secara marginal sebanyak 1.0 peratus kepada RM336.1 bilion atau 16.7 peratus daripada KDNK susulan pengurusan jaminan berhemat melalui pemilihan projek secara teliti dan penyaluran hanya terhad kepada projek dan program sedia ada.

Ia berkata berdasarkan pecahan segmen, projek infrastruktur kekal sebagai penerima terbesar mewakili 59.6 peratus daripada jumlah jaminan terkumpul dengan sebahagian besar adalah untuk membiayai projek pengangkutan awam seperti Laluan Rel Pantai Timur, Transit Aliran Massa, lebuh raya dan pinjaman perumahan.

Sehingga akhir Jun 2025, jumlah pendedahan kerajaan daripada surat ikatan dan sokongan berjumlah RM31.1 bilion atau 1.5 peratus daripada KDNK dengan Urusharta Jamaah Sdn Bhd mewakili peratusan tertinggi sebanyak 78.1 peratus.

“Melangkah ke hadapan, kerajaan akan lebih berhemat dalam pemberian jaminan ini sebagai langkah strategik mengawal risiko fiskal,”kata Kementerian Kewangan.

Sementara itu, pendedahan jaminan terkumpul daripada skim jaminan awam berjumlah RM57.5 bilion atau 2.9 peratus daripada KDNK.

Kementerian itu berkata risiko daripada skim jaminan terkumpul kekal rendah dengan mengambil kira keperluan pematuhan yang ketat terhadap piawaian perbankan di bawah pemantauan Bank Negara Malaysia.

Menurut Kementerian Kewangan, terdapat 108 projek pelaksanaan model kerjasama awam-swasta di bawah model pembiayaan bersama dengan jumlah komitmen kewangan terkumpul kerajaan berjumlah RM112 bilion sehingga akhir Jun 2025, meningkat 5.4 peratus berbanding akhir 2024.

Melangkah ke hadapan, ia berkata kerajaan akan terus menerapkan elemen risiko fiskal dalam pengurusan kewangan awam secara menyeluruh demi mewujudkan persekitaran pelaburan yang kondusif, meningkatkan keyakinan pelabur serta merealisasikan potensi pertumbuhan negara.

Tambah kementerian itu, hutang dan liabiliti Kerajaan Persekutuan kekal terurus dengan pendedahan risiko yang terkawal berikutan penebusan penuh beberapa obligasi liabiliti dan ketiadaan komitmen jaminan yang baharu.

“Situasi ini mencerminkan disiplin dan kemampuan fiskal disokong rangka kerja komprehensif yang mampu mengehadkan pendedahan risiko dan melindungi kewangan awam,” kata Kementerian Kewangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan