AM

Belanjawan 2026: Meningkatkan Kualiti Hidup, Mengukuhkan Ekonomi Rakyat

10/10/2025 09:10 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Komitmen kerajaan untuk mengimbangi antara pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti hidup setiap lapisan masyarakat serta memperkukuh daya tahan ekonomi, menjadi teras utama dalam Belanjawan 2026.

Bertemakan ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’, peruntukan sebanyak RM419.202 bilion dijangka memacu pertumbuhan ekonomi negara serta memastikan kekayaan negara dapat dinikmati secara saksama oleh semua golongan masyarakat.

Belanjawan 2026 mengumpulkan dan mengoptimum sumber negara termasuk dana GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan), badan berkanun Persekutuan dan syarikat MKD (Menteri Kewangan (Diperbadankan)) melalui perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion berbanding RM452 bilion tahun lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Belanjawan MADANI membuktikan iltizam kerajaan dalam memilih jalan kebangkitan dan pembaharuan nasional secara menyeluruh.

“Menghampiri tiga tahun pentadbiran MADANI, reformasi serta pembaharuan yang berani dan tuntas telah kita laksanakan, dan mula menghasil anjakan yang membanggakan terutamanya pada siling pertumbuhan negara dan lantai kesejahteraan rakyat,” katanya ketika membentangkan belanjawan negara  itu di Dewan Rakyat hari ini. 

Belanjawan 2026 adalah belanjawan keempat yang dibentangkan kerajaan MADANI pimpinan Anwar, dan yang pertama bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sekali gus menjadi asas utama bagi pelaksanaan pelan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata kerangka besar Ekonomi MADANI adalah berteraskan kepentingan rakyat, dengan memastikan kerajaan mempunyai keupayaan untuk menyediakan kemudahan asas, mencipta peluang pekerjaan, menjana pendapatan serta meringankan beban kos sara hidup.

“Kini tiba masanya untuk memulangkan hasil kepada rakyat. Sebagai belanjawan sulung yang memberi semangat kepada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Belanjawan 2026 menetapkan sembilan Tekad Utama yang berpaksikan tiga tonggak utama Ekonomi MADANI,” katanya.

Tiga tonggak utama Ekonomi MADANI iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, menaikkan lantai taraf hidup rakyat serta tatakelola baik dan reformasi sektor awam.

Meluhurkan tatakelola terbaik sebagai tekad pertama, Anwar menegaskan bahawa pentadbiran MADANI perlu membina kecekapan fiskal, menutup ruang ketirisan serta memperkukuh institusi negara dalam usaha menaikkan siling ekonomi dan lantai hidup rakyat.

Beliau berkata, lazimnya apabila kerajaan memerlukan perbelanjaan tambahan untuk menambah baik prasarana atau menyalurkan bantuan kepada rakyat, langkah yang sering diambil adalah menaikkan cukai. Namun begitu, kerajaan kali ini memilih pendekatan berbeza.

“Kerajaan tidak menaikkan cukai, sebaliknya menumpukan kepada pembaikan tatakelola termasuk pelaksanaan penyasaran subsidi secara lebih berkesan, tanpa menambah beban rakyat,” katanya.

Melalui pendekatan ini, katanya, kerajaan berjaya melaksanakan pelbagai langkah pembanterasan rasuah, mengekang aktiviti penyeludupan serta memecahkan tembok dan melumpuhkan kartel.

Anwar menegaskan sejak di bawah kerajaan MADANI, badan penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berjaya mengutip hasil rampasan serta penalti berjumlah hampir RM15.5 bilion.

“Bayangkan wang yang disakau dan dirompak, yang kini berjaya dikembalikan dalam tempoh hanya dua tahun, mencecah RM15.5 bilion. Tidak dapat dinafikan, segala ketirisan ini dibiarkan begitu lama akibat kurangnya tekad politik dan lemahnya penguatkuasaan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri berkata memenuhi keutamaan rakyat merupakan Tekad Kedua kerajaan, yang dilaksanakan melalui langkah seperti penyasaran subsidi, inisiatif Ikhtiar MADANI Untuk Rakyat, program Perkhidmatan Bergerak MADANI, serta keprihatinan terhadap pembangunan yang lebih seimbang di semua negeri.

“Memaknai subsidi bermaksud ia adalah keistimewaan rakyat Malaysia, bukan untuk warga asing, bukan untuk syarikat besar. Subsidi perlu disasarkan agar dana awam benar-benar sampai kepada rakyat yang memerlukan,” tegasnya.

Melalui pengapungan harga ayam dan telur, penyasaran subsidi dan penstrukturan tarif elektrik serta penyasaran subsidi diesel dan RON95, kerajaan telah menjimatkan dana negara sekitar RM15.5 bilion setahun, katanya.

“Setiap penjimatan bermakna lebih banyak dana untuk kebajikan, lebih banyak peruntukan untuk kos sara hidup, dan lebih banyak pelaburan prasarana rakyat yang berkualiti,” katanya.

Menjuarai Ekonomi Bernilai Tinggi digariskan sebagai Tekad Tiga dengan mengutamakan pelaburan strategik berpertumbuhan tinggi seperti semikonduktor, peralihan tenaga dan digital di tengah-tengah persaingan global yang semakin sengit. 

Selain memperkasa kemudahan dan kelancaran urusan pelabur, kerajaan juga komited memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai landasan penting bagi memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi dan berdaya saing.

Kerajaan turut akan memanfaatkan Tahun Melawat Malaysia 2026, yang dijangka menjana pendapatan pelancongan sehingga RM329 bilion, sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi. Inisiatif ini dijangka memberikan impak positif secara langsung kepada peniaga kecil, usahawan pelancongan, komuniti desa, dan rakyat secara keseluruhan.

Dalam pada itu, Anwar berkata Tekad Empat dalam Belanjawan MADANI turut menekankan usaha memacu ciptaan Malaysia dan memperkenalkan lebih banyak produk bertaraf antarabangsa hasil ciptaan tempatan menerusi jenama "Made by Malaysia" ke pasaran eksport.

“Malaysia tidak boleh kekal hanya sebagai pengguna. Kita mesti melangkah lebih jauh, mencipta, menghasilkan dan menerajui produk, perkhidmatan serta teknologi masa hadapan,” katanya.

Menyedari ketegangan geopolitik, peralihan tenaga dan ancaman keterjaminan makanan menuntut kesiapsiagaan, Anwar berkata kerajaan akan Memperkukuh Ketahanan Negara yang menjadi Tekad Lima, untuk membina ketahanan dengan kebijakan baharu yang lebih tangkas, berani dan berpandangan jauh.

Di bawah tekad ini, kerajaan MADANI memperkukuh sektor pertanian dan jaminan makanan melalui pelbagai inisiatif meliputi pembangunan infrastruktur, bantuan kepada pesawah, nelayan dan usahawan tani.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan menerima peruntukan sebanyak RM21.7 bilion, manakala Kementerian Dalam Negeri diberi peruntukan RM21.2 bilion untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan negara melalui beberapa ikhtiar utama.

Belanjawan 2026 turut menumpukan usaha merapatkan kesenjangan dan mencipta peluang dengan komitmen memastikan pembangunan inklusif dan saksama di seluruh negara.

Iltizam di bawah Tekad Enam itu antara lain merangkumi prasarana asas, ekonomi Bumiputera, pemerkasaan wanita dan belia selain memastikan kebajikan kumpulan tumpuan antaranya Orang Asli dan Orang Kurang Upaya.

Atas dasar kemanusiaan pula, kebajikan pelarian, khususnya kanak-kanak kecil turut diberi perhatian agar tiada golongan yang terpinggir, katanya. 

Menyentuh Tekad Tujuh, iaitu Menjamin Kelangsungan Hidup Rakyat, Perdana Menteri menegaskan bahawa kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan tertinggi dengan memastikan segala penjimatan dan hasil tambahan disalurkan untuk meringankan beban sara hidup.

“Hari ini, kita bersyukur menyaksikan hasil nyata perjuangan MADANI. Buat pertama kali dalam sejarah, kadar kemiskinan tegar negara menurun daripada 0.2 peratus kepada hampir sifar, iaitu hanya 0.09 peratus atau sekitar 7,000 isi rumah seluruh Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui kos sara hidup yang meningkat semakin membebankan, dan mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju menambah bantuan tunai kepada rakyat bagi 2026.

“Semua sembilan juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) turut menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sehingga RM100  setiap bulan atau RM1,200 setahun. Manakala, sejuta penerima STR di bawah eKasih menerima SARA sehingga RM200 sebulan atau RM2,400 setahun,” katanya. 

Kerajaan turut mengumumkan pemberian RM100 SARA kepada 22 juta rakyat Malaysia 18 tahun ke atas yang akan disalur pada pertengahan Februari, yang boleh dimanfaat untuk persiapan Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina.

“STR SARA 2026 berjumlah RM15 bilion. Peningkatan ini adalah hasil penjimatan yang diraih dari penyasaran subsidi seperti diesel dan RON95,” katanya. 

Memperkasakan Perkhidmatan Rakyat dan Membina Jati Diri, Membangun Nilai Insani digariskan masing-masing sebagai Tekad Lapan dan Tekad Sembilan di bawah Belanjawan MADANI. 

Sektor kesihatan, pendidikan, pengangkutan awam dan kediaman rakyat antara tumpuan dalam Tekad Lapan, dengan keutamaan peruntukan antaranya diberikan untuk meningkatkan mutu sektor kesihatan termasuk menambah baik prasarana hospital selain kebajikan petugas kesihatan. 

Tumpuan turut diberikan untuk meningkatkan prasarana sekolah, sokongan kepada murid miskin, serta pemberian Pendidikan Percuma melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 5,800 anak keluarga miskin yang mengikuti pengajian di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), bermula tahun hadapan.

Selain itu, Belanjawan 2026 turut menumpukan usaha memperkukuh syiar Islam secara menyeluruh melalui Tekad Sembilan, dengan jumlah RM2.6 bilion diperuntukkan bagi memartabatkan institusi pendidikan Islam, memperkasakan masjid, serta memperluas kefahaman Islam berteraskan prinsip MADANI.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan