KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Sebanyak 3,179 kandungan penipuan dalam talian di pelbagai platform media sosial berjaya diturunkan bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, meningkat 182 peratus berbanding 1,876 kes yang direkodkan pada 2024.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata peningkatan ketara itu mencerminkan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras jenayah siber yang semakin berleluasa, hasil kerjasama erat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta penyedia platform media sosial.
Beliau berkata kejayaan itu turut disumbangkan oleh pemantauan berterusan 24 jam oleh Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (PCIRC) yang bertanggungjawab meneliti kandungan media sosial, membuat profil siasatan dan memohon penurunan kandungan yang dikenal pasti mengandungi unsur penipuan.
“Antara kandungan yang paling banyak dikesan tahun ini ialah iklan pelaburan tidak wujud (1,058 kes), pinjaman tidak wujud (1,728 kes) serta penjualan atau penyewaan kad ATM (393 kes),” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Menurut Rusdi, peningkatan jumlah penurunan kandungan itu turut menunjukkan tahap kesedaran awam yang semakin tinggi hasil pelbagai inisiatif pencegahan, termasuk portal Semak Mule PDRM yang membolehkan orang ramai menyemak akaun bank, nombor telefon dan nama syarikat yang disyaki digunakan dalam kegiatan penipuan.
Beliau turut menasihatkan masyarakat agar tidak menyewakan atau menjual kad ATM kepada pihak lain kerana ia merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang dan boleh disalah guna untuk aktiviti penggubahan wang haram.
“Orang ramai juga perlu berwaspada terhadap iklan pelaburan atau pinjaman tidak wujud di media sosial, terutama apabila diminta membuat bayaran pendahuluan kononnya untuk yuran proses, duti setem atau insurans pinjaman,” katanya.
Mengenai Portal Semak Mule yang dibangunkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Rusdi berkata platform tersebut telah merekodkan lebih 37 juta pelawat dalam talian sejak dilancarkan pada tahun 2020.
Bagi tempoh 1 Jan hingga 26 Okt tahun ini sahaja, sebanyak 3.8 juta lawatan direkodkan, menunjukkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap keselamatan transaksi dalam talian.
Pangkalan data Semak Mule kini mengandungi 299,531 akaun bank, 233,568 nombor telefon dan 7,867 syarikat yang dikenal pasti digunakan oleh sindiket penipuan.
Portal itu boleh diakses melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my menggunakan pelbagai peranti digital termasuk telefon pintar, tablet dan komputer.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial