AM

Sejak Awal Syak Mayat Dalam Beg Ialah Mak Su - Anak Saudara

24/12/2025 09:12 PM

REMBAU, 24 Dis (Bernama) -- Keluarga kepada mangsa bunuh Suri Narudin telah mengesyaki identiti mayat ditemukan di dalam beg ditanam di belakang sebuah rumah di Pedas, di sini pada 18 Dis, merupakan wanita itu berdasarkan beg digunakan.

Anak saudara mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Mizan, 41, berkata mereka sudah bersedia untuk menerima pengesahan identiti wanita itu dan berterima kasih kepada pihak berkaitan yang membuat pengesahan identiti serta memberi keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) dengan segera.

“Polis maklumkan hal ini kepada kami pada 12 tengah hari tadi. Sebenarnya kita sudah jangka sejak hari ketiga lagi (mayat) itu ialah mak su (panggilan Suri) kerana beg itu memang milik dia,” katanya kepada pemberita di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau hari ini.

Mizan berkata kali terakhir dia berhubung dengan mangsa ialah pada Oktober lepas menerusi aplikasi WhatsApp apabila arwah bertanya khabar ayahnya.

Mizan berkata mereka berharap pembunuh dikenakan hukuman setimpal atas perbuatan yang tidak berperikemanusiaan.

“Mak su peramah, senang hati dan tidak pernah berkira dengan keluarga atau rakan-rakan. Kami amat sedih kerana mak su baik dan mudah mempercayai orang,” katanya. 

Lelaki itu memaklumkan jenazah Suri, 53, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Air Hitam Chembong di sini hari ini.

Rakan karib mangsa Mac Ruhayu Mohd Nor, 50, berkata mereka reda dan bersyukur kerana persoalan kehilangan arwah sudah terjawab walaupun tidak menyangka perkara seperti itu boleh menimpa Allahyarham.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri merangkap Penasihat Perkumpulan Wanita Sarawak di Semenanjung (Sarawak Ladies) juga hadir menziarahi Allahyarham.

Beliau meluangkan masa hampir sejam bertemu ahli keluarga Allahyarham dan turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada mereka.

Terdahulu, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan mayat ditemukan di dalam beg ditanam di Kampung Batu 4, Pedas, Rembau pada Khamis lepas ialah Suri yang dilaporkan hilang sejak 8 Dis.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan