AM

Tidak Perlu Tunggu Gaji Untuk Beli Barang Keperluan - Penerima SARA

25/12/2025 10:42 AM

KUALA TERENGGANU, 25 Dis (Bernama) -- Sumbangan Asas Rahmah (SARA) membawa kelegaan kepada sesetengah individu apabila dapat membeli barangan keperluan lebih awal tanpa perlu menunggu hari gaji.

Tukang cuci Semek @ Norliza Muda, 51, berkata sebelum menerima bantuan SARA, perbelanjaan dapur keluarga bergantung penuh kepada gaji bulanannya, namun jumlah itu sering kali tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian.

Kehidupan Semek amat mencabar kerana suaminya merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal dan tidak dapat bekerja atas faktor kesihatan selain menanggung anak bongsu berusia 15 tahun masih bersekolah.

“Dengan bantuan ini, saya boleh beli barangan asas seperti beras dan minyak masak di pasar raya lebih awal tanpa perlu menunggu gaji,” katanya ketika ditemui Bernama di sebuah pasar raya di sini.

Senada dengan Semek ialah jurujual Siti Fatimah Zakaria, 36, yang berkata bantuan SARA membantu menampung perbelanjaan bulanan terutama ketika menunggu gaji pada hujung bulan.

“Bantuan ini boleh digunakan untuk membeli barangan dapur sementara menunggu gaji yang membantu memastikan keperluan asas keluarga sentiasa mencukupi,” katanya.

Sementara itu, penerima SARA kategori isi rumah, Emma Yong, 38, berkata bantuan yang diterima sejak April lepas membantu meringankan tanggungan keluarga terutama bagi pembelian barangan asas seperti susu dan beras.

“SARA sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban perbelanjaan bulanan. Terima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan terhadap golongan isi rumah berpendapatan rendah,” kata suri rumah itu.

Ibu kepada lima anak itu berharap jumlah bantuan SARA dapat ditingkatkan pada masa akan datang memandangkan ia memberikan manfaat besar kepada golongan berpendapatan rendah yang benar-benar memerlukan.

Sebelum ini, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata sejumlah RM3.66 bilion telah dibelanjakan oleh 98 peratus penerima bulanan bantuan SARA di seluruh negara bagi membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad sehingga 3 Nov.

Beliau berkata dalam tempoh sama, 100 peratus penerima bantuan itu di negeri Perlis, Sabah, Kelantan, Terengganu dan Kedah telah membuat pembelian keperluan asas melalui SARA.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan