EKONOMI

Emas Bukan Sekadar Pelaburan Tapi Perlindungan Senyap Dalam Landskap Ekonomi Tidak Menentu

25/12/2025 02:44 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 25 Dis (Bernama) -- Bagi kebanyakan isi rumah di Malaysia, lonjakan harga emas global bukan sekadar cerita spekulasi atau turun naik pasaran, sebaliknya menjadi ibarat payung sebelum hujan, apabila nilai barang kemas dan simpanan emas yang dikumpul sejak bertahun-tahun meningkat, sekali gus memberi ruang pernafasan kewangan dan memperkukuh daya tahan keluarga dalam menghadapi tekanan kos sara hidup.

Pegangan emas dalam kalangan rakyat Malaysia bukanlah fenomena baharu, sebaliknya berakar dalam budaya simpanan dan pengurusan kewangan keluarga sejak sekian lama, khususnya melalui barang kemas yang diwarisi merentas generasi serta simpanan kecil sebagai persediaan menghadapi kecemasan.

Dalam konteks ini, penulis melihat kenaikan harga emas bukan sekadar mencerminkan sentimen pasaran global, tetapi turut menterjemahkan peningkatan nilai aset isi rumah yang selama ini bersifat senyap dan dan jarang diketengahkan dalam perbincangan ekonomi arus perdana.

Melalui pemerhatian penulis, apabila harga emas meningkat ke paras tinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya tahun 2025 ini, kesannya tidak hanya terhad kepada pelabur atau institusi kewangan.

Namun, ia turut menterjemahkan peningkatan nilai aset isi rumah biasa, sekali gus mengukuhkan kedudukan kewangan keluarga tanpa memerlukan sebarang tindakan tambahan atau pendedahan kepada risiko pasaran yang tinggi.

Untuk makluman, pada masa penulisan, harga emas dunia telah mencecah kepada AS$4,491.30 setiap auns.

 

Penimbal Kewangan, Serap Kejutan Ekonomi

Menurut Profesor Ekonomi Sunway University Dr Yeah Kim Leng, kenaikan harga emas memberi kesan nyata terhadap kedudukan kewangan isi rumah, khususnya dalam kalangan keluarga yang menyimpan emas sebagai aset jangka panjang dan bukan untuk tujuan spekulasi.

Beliau berkata peningkatan nilai emas secara tidak langsung mengukuhkan kunci kira-kira isi rumah, sekali gus membantu keluarga menampan tekanan kos sara hidup tanpa perlu menambah beban hutang atau mengorbankan perbelanjaan asas.

Dalam erti kata lain, emas berfungsi sebagai penimbal kewangan yang meningkatkan keupayaan isi rumah menyerap kejutan ekonomi, sama ada dalam bentuk kenaikan harga barangan keperluan, gangguan pendapatan atau perbelanjaan luar jangka, katanya kepada Bernama.

Jelasnya kesan ini menjadi semakin penting dalam persekitaran ekonomi global tidak menentu, di mana tekanan inflasi dan risiko luaran masih membayangi prospek pertumbuhan.

 

Simpanan Berisiko Rendah, Pelaburan Hari Tua

Pengalaman ini turut dikongsi oleh Rawahah Mohd Fadil, 36, seorang pekerja sektor swasta yang mula menyimpan emas secara berdikit-dikit sejak 2018 atas nasihat arwah ibunya, sebelum lebih serius membina simpanan emas ketika tempoh pandemik COVID-19.

“Saya mula simpan emas sedikit demi sedikit kerana emas ini simpanan berisiko rendah dan boleh dibeli secara berperingkat, berbeza dengan aset lain seperti rumah. Tapi saya mula benar-benar serius pada tahun 2020 apabila dunia dilanda pandemik.

“Saya bekerja di sektor swasta, jadi saya perlu cari simpanan dan pelaburan hari tua yang stabil. Emas menjadi jawapannya,” katanya.

Beliau berkata sebahagian dana yang diperoleh melalui moratorium dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ketika itu telah “dibekukan” dalam bentuk emas sebagai simpanan jangka panjang.

Rawahah berkata beliau tidak pernah menjual simpanan emasnya setakat ini, kecuali menghadiahkan beberapa keping kepada ahli keluarga, sambil menambah bahawa kenaikan nilai emas memberi ketenangan dari segi kewangan.

“Bayangkan lima keping dinar saya beli pada tahun Jun 2022 nilainya RM6,009. Namun, pada 24 Dis 2025 nilainya meningkat kepada RM13,489. Ini menunjukkan harga emas telah meningkat naik lebih daripada 100 peratus dari tempoh Jun 2022 ke Disember 2025.

“Nilai duit sentiasa menyusut akibat inflasi, tetapi emas terbukti mengekalkan nilai dan terus meningkat mengikut zaman. Dengan adanya simpanan emas, saya rasa kewangan lebih kukuh kerana sebahagian wang disimpan dalam bentuk aset yang lebih stabil,” katanya.

Menurutnya, simpanan emas juga menyediakan perlindungan ketika berdepan situasi tidak dijangka.

“Jika berlaku kecemasan, emas boleh digadai melalui Ar-Rahnu atau dijual tanpa perlu meminjam. Ia juga menjadikan tabiat menabung saya lebih konsisten kerana setiap bulan saya asingkan sebahagian pendapatan untuk simpanan emas,” katanya.

Pengalaman sedemikian mencerminkan peranan emas sebagai aset perlindungan dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia.

Berbeza dengan aset kewangan lain yang terdedah kepada turun naik mendadak, emas lazimnya dipegang untuk jangka panjang dan hanya digunakan apabila benar-benar perlu, menjadikannya satu bentuk simpanan stabil dan berdisiplin.

Dari sudut ekonomi lebih luas, pengukuhan kewangan isi rumah mempunyai implikasi yang melangkaui tahap individu.

Penulis berpandangan bahawa isi rumah yang lebih berdaya tahan dari segi kewangan cenderung mengekalkan corak perbelanjaan mereka walaupun berdepan tekanan luaran, sekali gus menyokong permintaan dalam negara.

Kestabilan ini menjadi tonggak penting kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, khususnya ketika sektor luaran berdepan ketidaktentuan global.

 

Peranan Emas Sebagai Penyokong Senyap Ekonomi Domestik

Dalam konteks ini, emas berfungsi sebagai penyokong senyap kepada aktiviti ekonomi domestik. Walaupun kesannya tidak serta-merta atau mudah diukur, peningkatan nilai aset isi rumah membantu mengekalkan keyakinan pengguna, mengurangkan keperluan kepada langkah penjimatan melampau dan mengekang kesan negatif kejutan ekonomi terhadap perbelanjaan harian.

Peranan emas turut terserlah dalam ekosistem kewangan Islam di Malaysia, khususnya melalui kemudahan Ar-Rahnu.

Kenaikan harga emas meningkatkan nilai cagaran, membolehkan isi rumah dan usahawan mikro mengakses pembiayaan lebih baik dengan aset yang sama, tanpa meningkatkan tahap keberhutangan secara berlebihan.

Mekanisme ini menyokong kecairan jangka pendek dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber kredit tidak formal.

Dari perspektif dasar awam, pengukuhan aset isi rumah melalui emas juga membawa implikasi yang lebih luas.

Ketika kerajaan melaksanakan penyesuaian fiskal secara berperingkat dan beralih ke arah subsidi bersasar, keupayaan isi rumah untuk menyerap tekanan kos menjadi faktor penting dalam memastikan peralihan tersebut berjalan lancar.

Dalam keadaan ini, penulis berpendapat bahawa aset seperti emas boleh dilihat sebagai penampan tidak langsung yang melengkapi usaha kerajaan mengurus sumber kewangan negara dengan lebih berhemah.

Dengan tekanan kewangan isi rumah lebih terkawal, sumber awam dapat diagihkan secara lebih berfokus kepada golongan yang benar-benar memerlukan, di samping menyokong pelaburan pembangunan jangka panjang.

Walaupun emas bukanlah penyelesaian kepada semua cabaran ekonomi, peranannya sebagai aset perlindungan membantu mengurangkan kerentanan kewangan pada peringkat akar umbi.

Selain itu, kenaikan harga emas turut memberi kesan kepada ekosistem hiliran industri emas tempatan, termasuk pembuatan barang kemas, perkhidmatan penyimpanan dan produk kewangan berasaskan emas.

Aktiviti ini dilihat turut menyumbang kepada nilai tambah ekonomi dan peluang pekerjaan, sekali gus memperkukuh peranan emas bukan sahaja sebagai simpanan isi rumah, tetapi juga sebagai komponen dalam rantaian nilai ekonomi domestik.

Melangkah ke hadapan, ahli ekonomi menjangkakan harga emas mungkin terus mengalami turun naik seiring perubahan landskap global.

Namun, peranan struktur emas dalam sistem kewangan isi rumah Malaysia dijangka kekal relevan. Sebagai aset jangka panjang, emas terus berfungsi sebagai pelindung nilai, menyokong disiplin simpanan dan memperkukuh daya tahan kewangan merentas generasi.

Dalam landskap ekonomi yang semakin mencabar, kisah emas dalam kehidupan rakyat Malaysia mengingatkan bahawa kekuatan ekonomi tidak hanya terletak pada angka pertumbuhan atau dasar fiskal, tetapi juga pada kebijaksanaan isi rumah mengurus simpanan mereka.

--- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan