AM

Sim Sumbang RM100,000 Kepada SMA Al-Ahmadiah Al-Ijtimaiah

26/12/2025 01:28 PM

BUKIT MERTAJAM, 26 Dis (Bernama) -- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim menyumbang RM100,000 kepada Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Ahmadiah Al-Ijtimaiah, di sini yang merupakan antara institusi pendidikan agama tertua di daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata dana yang disumbangkan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk perolehan lima unit papan pintar (smart board) yang bakal memberikan impak positif kepada 168 pelajar di sekolah itu.

"Inisiatif ini merupakan langkah proaktif dalam memastikan institusi pendidikan berkenaan, yang kini berusia 129 tahun, terus relevan dengan arus teknologi semasa dan saya berharap sumbangan ini dapat membantu pelajar mengikuti proses pembelajaran dengan lebih efisien melalui kemudahan yang lebih baik.

"Penggunaan teknologi terkini itu bertujuan meringankan beban tugas para guru dalam menyampaikan pengajaran, sekali gus mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih interaktif dan moden," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau turut mengumumkan tambahan tiga unit lagi papan pintar yang akan disumbangkan pada tahun hadapan supaya keseluruhan kelas di sekolah itu mempunyai papan pintar.

Dalam lawatan ke sekolah yang terletak di Padang Lalang itu, beliau turut meluangkan masa untuk mendengar taklimat dan tuntutan daripada pihak sekolah berhubung keperluan lain bagi meningkatkan kualiti pendidikan di situ.

Tahun lepas, Sim menyalurkan bantuan RM60,000 bagi menjayakan projek Smart TV di sekolah berkenaan dan penyediaan peralatan belajar untuk Tadika Islam (TADIS) di bawah sekolah tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan