AM

Jumlah Mangsa Banjir Di Terengganu Meningkat

27/12/2025 09:48 AM

KUALA TERENGGANU, 27 Dis (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir gelombang ketiga di Terengganu meningkat kepada 468 orang daripada 116 keluarga setakat 9 pagi ini, berbanding 103 orang daripada 24 keluarga malam tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, daerah Kuala Nerus mencatat jumlah mangsa paling ramai iaitu 372 orang daripada 91 keluarga yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal dan SK Kompleks Mengabang Telipot.

Di daerah Kuala Terengganu, sebanyak 87 mangsa daripada 23 keluarga berlindung di sebuah PPS di SK Chendering manakala di daerah Dungun 13 mangsa daripada dua keluarga berteduh di sebuah PPS di Dewan Sivik Kampung Seberang Pintasan.

Sementara itu, beberapa laluan, iaitu Jalan Sultan Omar, Jalan Kamaruddin, Jalan Sultan Ismail menghala ke Bulatan Ladang serta Jalan Kamarudin menghala ke Pengadang Akar yang ditutup akibat banjir kilat semalam dibuka semula selepas air surut.

Berdasarkan laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my, paras air sungai di tiga stesen, iaitu Sungai Telemong di Kuala Ping (F1) dan Sungai Tersat di Kampung Sekayu (F1) di Hulu Terengganu serta Sungai Nerus di Kampung Langkap (F1) di Setiu melepasi paras waspada.  

  -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan